PETALING JAYA: Visionary Heritage Berhad (VHB), syarikat yang ditaja oleh ISP Holding Sdn. Bhd., menerbitkan Sukuk Wakalah Hijau ASEAN bernilai RM114 juta di bawah Program Aset Industri Lestari Sukuk Wakalah berasaskan Sekuriti Disokong Aset (ABS) bernilai RM2 bilion.
Terbitan itu terdiri daripada tranche kanan dan tranche junior, dengan tranche kanan telah dilanggan sepenuhnya oleh Public Islamic Bank Berhad, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap aset dan struktur sukuk tersebut.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ISP Holding Sdn. Bhd., Eric Ng berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan kumpulan ISP untuk berinovasi dalam bidang pembiayaan sambil kekal berpegang pada asas kukuh.
“Kami berbangga dapat menawarkan akses kepada pelabur terhadap peluang hartanah berkualiti tinggi yang sejajar dengan Persekitaran, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) melalui struktur patuh Syariah yang menyokong matlamat kewangan dan alam sekitar.
“Sukuk ini juga selaras dengan piawaian ESG global dan mencerminkan komitmen berterusan kami dalam membentuk instrumen pembiayaan lestari yang memberi manfaat kepada pelabur dan alam sekitar.
“Selain itu, aset tersebut telah menerima pensijilan Perak di bawah piawaian bangunan hijau GreenRE,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, seiring dengan pertumbuhan permintaan serantau terhadap pembiayaan hijau, kumpulan ISP berhasrat mengembangkan portfolio aset industri dan logistik lestarinya dengan memanfaatkan fleksibiliti struktur Sukuk Wakalah ABS.
“Dengan terbitan sulung ini, ISP mengukuhkan peranannya sebagai peneraju progresif dalam sektor hartanah industri Malaysia yang menggabungkan pertumbuhan dengan kelestarian sebagai teras utama.
“Penerbitan pertama yang berjaya di bawah VHB ini menandakan pencapaian penting dalam pelan hala tuju pasaran modal ISP, sekali gus membuka laluan kepada lebih banyak terbitan sukuk hijau pada masa akan datang bagi menyokong pengembangan nasional kumpulan,” ujarnya.
Sementara itu, hasil daripada sukuk hijau itu digunakan untuk membiayai pemerolehan aset industri utama di Iskandar Puteri, Johor sebuah hab logistik dan perindustrian yang pesat membangun di selatan Malaysia.
Terletak secara strategik berhampiran lebuh raya utama dan dikelilingi oleh zon perindustrian terkemuka seperti Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusajaya Techpark, dan Southern Industrial & Logistics Clusters (SILC), hartanah ini terdiri daripada tujuh unit kilang merentasi enam blok.
Setiap blok direka bentuk dengan fleksibiliti untuk dipagarkan secara bebas, membolehkan penyusunan penyewa berganda yang selamat.
Aset ini juga telah disewakan sepenuhnya kepada campuran syarikat tempatan yang mantap, perusahaan dari China dan syarikat multinasional (MNC), sekali gus menunjukkan permintaan institusi yang kukuh terhadap ruang industri berkualiti tinggi.
CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama Tunggal, Penyusun Utama Tunggal dan Pengurus Utama bagi urus niaga itu. – UTUSAN