PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan pengenaan duti anti-lambakan ke atas pengimportan produk gulungan rata besi atau keluli bukan aloi.
Ia membabitkan produk dengan kelebaran 600 milimeter atau lebih, disalut, disadur atau disepuh dengan timah yang berasal atau dieksport dari China, India, Jepun dan Korea Selatan (dagangan subjek).
China dikenakan duti anti-lambakan antara 4.48 peratus dan 20.42 peratus, manakala India dikenakan 27.88 peratus, Jepun (15.74 – 36.8 peratus) dan Korea Selatan (21.6 – 35.43 peratus).
Menurut MITI, kerajaan telah memulakan penyiasatan duti anti-lambakan terhadap import dagangan subjek pada 14 Ogos lalu, selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 serta Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994.
“Ini berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Perusahaan Sadur Timah Malaysia Berhad, mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa.
“Kerajaan telah memuktamadkan siasatan dan mendapati bahawa dagangan subjek diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan di negara-negara yang didakwa sehingga menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, kutipan duti anti-lambakan ke atas dagangan subjek akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia selama lima tahun mulai 11 Mei 2025 hingga 10 Mei 2030.
“Pengenaan duti anti-lambakan terhadap import dagangan subjek dari negara-negara tersebut dijangka akan menangani kesan amalan perdagangan yang tidak adil,” ujarnya. – UTUSAN