CADB sasar bawa masuk dua EV baharu Dongfeng tahun ini

Perniagaan

SERDANG: Central Auto Distributors Bhd. (CADB), anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menyasar membawa masuk dua lagi model baharu kereta elektrik (EV) dari Dongfeng tahun ini.

Pengurus Besar CADB, Wan Ahmad Fadzli Wan Mustafa berkata, mereka yang merupakan pengedar dan pengimport eksklusif kereta penumpang Dongfeng tersebut dalam perbincangkan akhir untuk membawa masuk kereta sport sedan dan juga kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C.

Katanya, kereta sport sedan itu dijangka di bawa masuk pada suku ketiga tahun ini, manakala SUV itu pula pada suku keempat.

“Ini bermakna, kami akan mempunyai tiga model iaitu kereta kompak, sport sedan dan SUV segmen-C menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui pada Pameran Automotif Malaysia 2025 (MAS2025) baru-baru ini.

Beliau berkata, CADB yang telah membawa masuk dua varian Box iaitu E2 dan E3 pada November tahun lalu menyaksikan sambutan yang baik terhadap jenama kereta milik kerajaan China yang berpangkalan Wuhan itu.

Beliau berkata, jualan model Box kini sudah mencapai tiga digit, satu pencapaian yang agak baik bagi jenama yang baru dilancarkan.

“Walaupun Dongfeng adalah jenama yang besar di China dan merupakan syarikat milik kerajaan tetapi di Malaysia orang tak kenal. Orang kenal jenama ini untuk kenderaan komersialnya iaitu trak dan bas.

“Jadi, pada peringkat awal iaitu tiga hingga empat bulan pertama kami memberi fokus kepada penjenamaan supaya oleh ramai boleh kenal jenama ini.

“Bulan lepas, pencapaian kami adalah agak baik kerana berjaya menjual sebanyak 24 buah model Box ini,” ujarnya.

Wan Ahmad berkata, syarikat memegang sebanyak 400 stok kereta tersebut ketika ini dan menyasarkan untuk menjual semua stok tersebut menjelang akhir tahun ini.

“Kami ada masa kira-kira tujuh bulan, ia bukannya sesuatu yang mudah tetapi bukan juga sesuatu yang mustahil.

“Oleh itu, kami menawarkan pelbagai supaya orang ramai dapat mengenal lebih lanjut tentang jenama ini,” ujarnya. – UTUSAN