BESUT: Datuk Seri Rafizi Ramli seharusnya menarik diri lebih awal dan tidak perlu bertanding jika ‘ikhlas’ ingin melihat Nurul Izzah Anwar menang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu.
Pengerusi PKR Terengganu, Ahmad Nazri Mohd. Yusof berkata, pertembungan antara dua tokoh parti itu menimbulkan kekeliruan kepada ahli dan perwakilan PKR ekoran kedua-duanya disayangi parti.
“Sekiranya beliau (Rafizi) ikhlas mahu suruh perwakilan memilih Nurul Izzah, dia perlu menarik diri dan tidak perlu lagi kita kecoh-kecoh dengan keadaan yang sememangnya kini tegang. Kalau boleh kita mahukan pemilihan dipercepat.
“Saya selaku orang lama di dalam parti berasakan perlunya pelapis baharu yang berkelayakan dan merupakan seseorang yang boleh menyantuni akar umbi parti,” katanya selepas Majlis Kesyukuran dan Perpaduan Rakyat Anjuran PKR Cabang Besut di Tanjung Demong Resort, di sini hari ini.
Katanya, Nurul Izzah mempunyai potensi tinggi untuk menang dengan kebolehan dan pengalaman yang dimilikinya sepanjang berada di dalam parti itu.
Terdahulu, Rafizi dilapor menyatakan kebimbangan sekiranya bekas Nurul Izzah tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR, perkara itu menjadi isu bagi menolak kepimpinan Presiden parti berkenaan.
Berikutan itu, beliau berkata, tidak ada jalan lain selain memastikan kemenangan ke atas Nurul Izzah, sekali gus menjadi Timbalan Presiden yang baharu, walaupun beliau adalah anak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN