BPMB, PRSB bekerjasama untuk pembangunan Lundu Beach Resort

Perniagaan

PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memeterai satu kerjasama pembiayaan strategik bersama Pangolin Resort Sdn. Bhd. (PRSB) bagi menyokong pembangunan Lundu Beach Resort di Sarawak.

Inisiatif itu mengukuhkan lagi komitmen berterusan BPMB dalam menyokong industri pelancongan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi bertaraf dunia serta meningkatkan daya saing negara dalam pasaran pelancongan global.

Ketua Perbankan Korporat dan Penasihat BPMB, Wee Yee Tat berkata, projek itu sejajar dengan mandat syarikat dan menyasarkan matlamat sosioekonomi utama dengan mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong perniagaan tempatan dan meningkatkan taraf hidup penduduk di Lundu.

“Di bawah kerjasama ini, BPMB menyediakan Kemudahan Pembiayaan Aset Tawarruq berjumlah RM33.87 juta bagi Fasa 2 pembangunan Lundu Beach Resort.

“Fasa ini merangkumi pembinaan 72 unit hotel dan 28 vila, selain dewan bankuet, ruang makan terbuka serta restoran.

“Projek ini dijangka mempertingkatkan penawaran hospitaliti di Sarawak dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi serantau,” katanya dalam kenyataan.

Resort yang terletak secara strategik di Lundu ini dijangka memberikan impak sosioekonomi yang signifikan kepada kawasan tersebut, termasuk mewujudkan 69 peluang pekerjaan, di mana 49 semasa tempoh pembinaan dan 20 lagi semasa operasi.

Ia juga akan menjana kesan limpahan ekonomi kepada pekan-pekan berdekatan dan perniagaan tempatan berskala kecil, serta dianggarkan sehingga 300 penduduk setempat bakal menerima manfaat daripada pembangunan itu.

Sementara itu, Pengarah PRSB, Datuk Seri Thomas Lau berkata, Lundu Beach Resort akan mengetengahkan keindahan pantai Sarawak.

“Ia juga berperanan sebagai pemangkin dalam merancakkan pelancongan, merangsang aktiviti ekonomi tempatan serta membuka lebih banyak peluang bermakna kepada komuniti sekitarnya.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan BPMB dalam merealisasikan visi ini,” ujarnya.

Melalui kerjasama ini, BPMB terus menyalurkan pembiayaan berimpak kepada projek-projek yang bukan sahaja menjana nilai ekonomi, tetapi turut memperkasa komuniti setempat dan mengukuhkan ekosistem pelancongan negara. – UTUSAN