SHAH ALAM: Myra, jenama kediaman di bawah Oriental Interest Berhad (OIB), melancarkan Myra Tenuman, Alam Impian dekat sini dengan unjuran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM1 bilion.
Pembangunan perbandaran seluas 70 ekar itu dijangka meningkatkan penanda aras bagi kehidupan bandar yang berpaksikan komuniti di salah satu koridor yang pesat membangun di Lembah Klang.
Myra Tenuman bakal menjadi perbandaran lengkap yang menyepadukan rumah bertanah premium, pangsapuri servis yang bakal dibangunkan, zon komersial berorientasikan komuniti, serta ruang awam berkonsepkan reka tempat.
Pelan induk ini bakal menghubungkan koridor hijau, taman poket (ruang hijau kecil di kawasan bandar)
dan ruang awam, mewujudkan kawasan jangka panjang buat keluarga pelbagai generasi dan profesional berjiwa progresif yang mendambakan eksklusiviti dan hubungan komuniti.
Ketua Bahagian Pembangunan dan Sumber Manusia Myra, Akil Hassan berkata, Myra Tenuman melambangkan langkah progresif syarikat untuk mentafsir nilai tempat tinggal dan ketetapan hidup.
“Dalam pasaran hari ini, pemilik rumah bukan sekadar mencari tempat berteduh. Mereka mencari persekitaran yang lengkap.
“Peranan kami untuk mewujudkan perbandaran yang meningkatkan taraf kehidupan pinggir bandar,” katanya dalam ucapan sempena Pelancaran Myra Tenuman dan pinjaman ubah suai pertama di Malaysia di sini.
Myra Tenuman direka oleh Tangu Architecture, Halaman meraikan idea ‘Perkampungan hijau’ memupuk rasa keterbukaan, keterhubungan dan keharmonian dengan alam semula jadi.
Rumah-rumah ini diinspirasikan oleh semangat kampung tradisional dan ditafsirkan semula melalui seni bina kontemporari serta permikiran reka bentuk tropika.
Unit banglo dibina di atas petak tanah yang luas, kira-kira antara 6,652 hingga 8,826 kaki persegi, dengan keluasan binaan sehingga 3,982 kaki persegi pada harga bermula dari RM3 juta.
Unit berkembar mempunyai saiz lot antara 4,166 dan 7,535 kaki persegi dengan keluasan binaan sehingga 3,376 kaki persegi dengan harga bermula dari RM2 juta.
Myra Tenuman mewakili lot terakhir Myra di Alam Impian dan dilaksanakan dengan kerjasama pemilik tanah dan rakan kongsi Naza TTDI dan Triterra, sekali gus mengukuhkan kedudukan kawasan ini sebagai salah satu koridor pinggir bandar paling bernilai di Shah Alam.
Sementara itu, bagi menjadikan pemilikan rumah lebih mudah diakses dan disesuaikan, Myra bekerjasama dengan Kumpulan Perbankan RHB (RHB) untuk memperkenalkan pakej pinjaman dan pembiayaan rumah dan pengubahsuaian, menandakan kerjasama pertama RHB seumpama ini dengan pemaju hartanah.
Pakej pembiayaan ini menawarkan sehingga 120 peratus pembiayaan kepada pembeli rumah yang layak, sama ada pada harga Perjanjian Jual Beli (SPA) atau nilai pasaran terbuka.
Pengarah Urusan, Perbankan Komuniti Kumpulan, Kumpulan Perbankan RHB, Jeffrey Ng Eow Oo berkata, sehingga 30 peratus daripada jumlah ini boleh diperuntukkan secara khusus untuk pengubahsuaian, meliputi pelbagai peningkatan termasuk jubin, kemasan dalaman, pengubahsuaian struktur dan reka bentuk dalaman.
“Kami menyedari bahawa pembeli rumah hari ini bercita-cita untuk mewujudkan ruang yang benar-benar mencerminkan gaya dan keperluan peribadi mereka.
“Kerjasama perintis dengan Myra ini membolehkan kami memperkasakan mereka dengan laluan kewangan yang lancar dan fleksibel untuk mencapai visi ini, yang akhirnya menyumbang kepada persekitaran kehidupan yang lebih bertenaga dan diperibadikan untuk masyarakat,” katanya. – UTUSAN