PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin terus menyalakan sinar harapan baharu badminton Malaysia apabila mengejutkan pemain pilihan dari China dalam aksi pusingan pertama Terbuka Thailand 2025, hari ini.
Beraksi penuh semangat di Stadium Nimibutr, Bangkok, Aidil yang menghuni ranking ke-48 dunia tampil cemerlang menundukkan pemain ranking ke-32, Wang Zheng Xing 21-12, 19-21, 21-18 dalam aksi mendebarkan selama 59 minit.
Kemenangan itu bukan sekadar melayakkannya ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500, malah merupakan pencapaian terbaik dalam kariernya setakat ini di pentas berprestij.
Aidil sebelum ini mempamerkan peningkatan konsisten apabila menjuarai Kejohanan Cabaran Antarabangsa Sri Lanka serta mara ke separuh akhir Masters Ruichang di China, Mac lalu.
Sebelum ini Aidil tewas pada pertemuan sulungnya kepada pemain China berkenaan pada kejohanan Thailand Masters awal tahun ini.
Selepas mencipta sensasi menyingkirkan wakil China No. 32 dunia, Aidil kini berdepan ujian lebih getir apabila bakal menentang pilihan kelapan kejohanan, Lu Guang Zu dari China dalam perebutan tiket ke suku akhir esok.
Sementara itu, beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing turut mencuri tumpuan apabila tidak gentar menewaskan pasangan Taiwan, Chen Su Yu-Hsieh Yi En 21-15, 18-21, 21-15.
Aksi mantap ditampilkan gandingan negara itu membuka laluan ke pusingan kedua, sekali gus menyuntik semangat untuk menentang pasangan muda Indonesia, Meilysa Puspitasari-Rachel Rose. – UTUSAN