Signature Alliance sasar raih RM161.2 juta daripada IPO Pasaran ACE

Perniagaan

PETALING JAYA: Signature Alliance Group Berhad (SAG), pakar kerja kemasan dalaman, menyasarkan kutipan sebanyak RM161.2 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities Berhad.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Darren Chang berkata, dana yang diperoleh akan digunakan antaranya untuk menyatukan operasi pejabat dan pengeluaran bagi menyokong pertumbuhan serta pengembangan perniagaan SAG secara berterusan.

“Kami bercadang membina kemudahan pengeluaran sendiri bagi menyokong keperluan pembuatan komponen seperti pertukangan, kelengkapan tetap dan perabot kayu, yang ketika ini terhad berikutan jumlah projek yang tinggi, tahap penyesuaian yang kompleks serta kekangan ruang di kemudahan sedia ada.

“Setelah siap dan beroperasi, kemudahan ini akan membolehkan kami mengeluarkan sendiri semua komponen tersebut bagi projek-projek di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Daripada jumlah keseluruhan hasil IPO, sebanyak RM88 juta atau 54.6 peratus akan diperuntukkan untuk membina pejabat korporat baharu dan kemudahan pengeluaran di Selangor yang turut menumpukan kepada automasi serta peningkatan keupayaan penyampaian projek.

Selain itu, RM30.1 juta (18.7 peratus) akan digunakan sebagai modal kerja bagi memenuhi keperluan projek kerja kemasan dalaman yang sedang dan akan dijalankan.

SAG turut merancang melunaskan pinjaman bank berjumlah RM20 juta (12.4 peratus) dan RM12 juta (7.4 peratus) pula akan digunakan untuk membuka pejabat cawangan baharu di Pulau Pinang dan Johor bagi mengukuhkan kehadiran syarikat di wilayah utara dan selatan Semenanjung.

Baki RM4 juta (2.5 peratus) akan diperuntukkan bagi pembelian mesin dan peralatan tambahan, manakala RM7.1 juta (4.4 peratus) lagi bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.

Menurut Darren, penubuhan pejabat korporat baharu itu turut akan menyatukan tenaga kerja SAG di Lembah Klang di bawah satu bumbung, di samping menyediakan ruang bagi pengambilan kakitangan baharu seiring pertumbuhan perniagaan.

Menerusi penyenaraian itu, SAG akan menerbitkan 260 juta saham baharu mewakili 26 peratus daripada modal saham diperbesar syarikat. Tiada saham sedia ada akan dijual dalam penyenaraian ini.

Pada harga tawaran 62 sen sesaham, nilai pasaran SAG diunjur mencecah RM620 juta berdasarkan modal saham diperbesarnya sebanyak satu bilion saham. – UTUSAN