KUALA LUMPUR: Hartanah berharga bawah RM500,000 terus mencatatkan jumlah transaksi tertinggi di pasaran, mencerminkan permintaan yang berterusan dalam segmen ini.
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Kenneth Soh berkata, bagaimanapun, pemain industri perlu memberi perhatian bukan sahaja terhadap harga, tetapi juga keperluan asas pembeli.
“Masih ada permintaan yang jelas untuk rumah dalam julat harga ini (RM500,000).
“Namun apa yang penting untuk kita fahami sebagai pemain dalam industri adalah setiap orang berhak kepada perumahan yang selamat, mudah diakses dan selesa, tidak kira pada titik harga mana pun,” katanya kepada pemberita ketika membentangkan dapatan kajian pasaran dan laporan kemampanan 2024 di sini.
Menurut Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH), sebanyak 65.3 peratus atau 8,159 unit rumah yang ditawarkan berada dalam julat harga bawah RM500,000.
Daripada jumlah itu, 22.5 peratus (2,809 unit) merupakan rumah berharga di bawah RM300,000, manakala 42.8 peratus (5,350 unit) lagi berada dalam lingkungan RM300,001 hingga RM500,000.
Menurutnya, meskipun rumah berharga rendah menjadi tumpuan utama, kualiti dan aksesibiliti tidak wajar dikompromi.
“Banyak ketidakpadanan masih berlaku, terutama dalam julat harga bawah RM300,000. Pembeli sering tidak mendapat rumah yang memenuhi keperluan sebenar mereka,” katanya.
Beliau turut mengulas mengenai Akta Pembaharuan Bandar yang masih dalam perbincangan di Parlimen di mana ia perlu diberi perhatian.
“Kita perlu berhati-hati dan teliti dalam melaksanakannya. Negara lain telah berjaya melaksanakan pembaharuan bandar secara adil dan memberikan manfaat besar kepada komuniti setempat,” katanya.
Kenneth berkata, Malaysia juga boleh mengambil inspirasi daripada inisiatif swasta tempatan yang berjaya memelihara warisan sambil memajukan kawasan tertentu.
“Langkah ini menunjukkan bahawa pembangunan dan pemeliharaan boleh berjalan seiring. Apa yang penting, semua pihak, baik kerajaan, pemaju mahupun masyarakat, semua perlu bergerak selari dengan matlamat yang sama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kelestarian, PropertyGuru Group, Cécile Corda berkata, berdasarkan tinjauan PropertyGuru 2024, sebanyak 83 peratus rakyat Malaysia bersedia untuk membayar harga premium demi memiliki rumah dengan ciri-ciri lestari termasuk penjimatan kos utiliti, ketahanan terhadap risiko iklim dan nilai jangka panjang.
“Dengan 32 juta lawatan bulanan daripada pencari hartanah dan 50,000 ejen aktif di seluruh rantau, PropertyGuru terus memperkenalkan inovasi digital dan analisis data bagi menangani cabaran pasaran perumahan secara langsung.
“Permintaan terhadap perumahan lebih lestari dan inklusif semakin meningkat. Di PropertyGuru, kami tampil dengan penyelesaian yang praktikal.
“Kami melengkapi pencari hartanah dan pihak berkepentingan dengan alat yang membantu mereka membuat keputusan yang lebih bijak dan lestari. Ini adalah langkah penting ke arah membina bandar yang lebih adil dan berdaya tahan,” katanya.
PropertyGuru Group melancarkan Laporan Kelestarian 2024 yang menegaskan komitmennya dalam membina bandar yang lebih inklusif dan tahan iklim di tengah tekanan urbanisasi yang semakin meningkat.
Menjelang 2050, dijangka hampir 63 peratus penduduk Asia Tenggara akan tinggal di kawasan bandar.
Laporan ini menunjukkan bagaimana PropertyGuru memanfaatkan data, teknologi digital dan kerjasama strategik bagi mencetus perubahan positif dalam ekosistem perumahan. – UTUSAN