Cadangan AS semak peraturan eksport cip beri manfaat kepada Malaysia

Perniagaan

PETALING JAYA: Syarikat semikonduktor tempatan dijangka menerima manfaat susulan rancangan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membatalkan dan menyemak semula peraturan era Biden yang menyekat eksport cip kecerdasan buatan (AI) termaju.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, pembatalan tersebut membolehkan lebih banyak syarikat membuat tempahan daripada syarikat di Malaysia.

Katanya, buat masa ini, terdapat tiga syarikat di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan tersebut.

“Sudah tentu ia akan mewujudkan lebih banyak peluang dan manfaat kepada syarikat di Malaysia. Bagi China, saya tidak pasti, tapi untuk negara-negara lain, ia akan memberi manfaat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Penganalisis TA Securities Holdings Bhd., Chan Mun Chun berkata, pihaknya melihat perkembangan ini secara positif, kerana ia boleh memberikan Malaysia akses yang lebih besar kepada teknologi termaju, terutamanya dalam industri utama seperti pusat data.

“Dalam pada itu, potensi kelonggaran kawalan eksport mungkin menarik lebih banyak pelaburan dan perkongsian asing, seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya dalam nota penyelidikan.

Memandang ke hadapan, beliau menjangkakan jualan bahan semikonduktor kekal disokong oleh permintaan kukuh daripada AI, 5G dan kenderaan elektrik (EV).

Mun Chun berkata, menurut SEMI, hasil pasaran bahan semikonduktor global meningkat sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun kepada AS$67.5 bilion (RM292.5 bilion) pada 2024.

Katanya, pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh permintaan yang lebih tinggi untuk bahan termaju yang digunakan dalam pengkomputeran berprestasi tinggi dan pembuatan memori lebar jalur tinggi.

“Secara keseluruhan, kami percaya ketegangan perdagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China boleh mewujudkan peluang lencongan perdagangan yang lebih besar untuk Malaysia di bawah strategi China Plus One.

“Sementara itu, kerajaan baru-baru ini mengumumkan kriteria kelayakan untuk syarikat tempatan yang ingin menyertai rangka kerja reka bentuk cip termaju di bawah kerjasama Malaysia dengan Arm Holdings Plc yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

“Kami juga melihat perkembangan terbaharu ini secara positif, kerana ia membawa kita selangkah lebih dekat untuk membantu syarikat tempatan meningkatkan rantaian nilai dalam industri semikonduktor global,” ujarnya.

Menurutnya, semikonduktor global meneruskan momentum positifnya pada Mac 2025 dengan mencatatkan satu lagi pertumbuhan jualan yang sihat.

“Menurut Persatuan Industri Semikonduktor, jualan semikonduktor global bagi bulan itu mencecah AS$55.9 bilion (RM242 bilion), naik 1.8 peratus bulan ke bulan dan 18.8 peratus tahun ke tahun, menandakan pemulihan jualan tahun ke-17 berturut-turut.

Tambahnya, firma mengulangi pendirian ‘overweight’ pada sektor semikonduktor.

“Kami mengekalkan syor ‘beli’ pada Inari Amertron Bhd. pada harga sasaran (TP) RM3.10, Unisem Group (TP: RM2.35), Malaysian Pacific Industries (MPI) (TP: RM29.30) dan Elsoft Research Berhad (TP: RM0.52),” jelasnya. – UTUSAN