Tiada istilah nepotisme dalam penyertaan Nurul Izzah

Politik

PETALING JAYA: Tiada istilah nepotisme dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila Nurul Izzah Anwar bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformasi Malaysia (Pkorm), Mustapa Mansor berkata, PKR adalah sebuah parti yang mengamalkan prinsip demokrasi dengan semua ahlinya terbuka untuk bertanding dan tiada kewajaran perkara itu dipertikaikan.

“Silakan Nurul Izzah atau sesiapa sahaja yang boleh membawa agenda reformasi ke arah yang lebih baik, silakan. PKR dahulunya berada pada tahap reformasi jalanan, kini ke satu tahap yang lebih baik iaitu membawa agenda Madani dan mustahil kita mahu undur semula.

“Jadi kita hendak pastikan selepas ini konsep Madani mesti dihormati, Madani mesti membawa agenda-agenda reformasi secara konsisten melalui pemimpin yang berkualiti dipilih akar umbi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Pada Pemilihan PKR 2025 Nurul Izzah yang merupakan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh akan mencabar Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli bagi jawatan nombor dua dalam parti itu.

Mustapa berkata, semua ahli PKR perlu memahami prinsip perjuangan parti dari peringkat awal yang sememangnya berbeza dengan parti-parti lain.

“Orang PKR mesti faham betul-betul semangat perjuangan parti, ini namanya pun parti derita, parti sengsara, kita benar-benar mengamalkan sistem demokrasi secara lebih terbuka.

“Agak sukar kalau ada mana-mana pihak cuba untuk merendahkan kemampuan mana-mana ahli parti kerana sewajarnya ahli parti faham tentang apa yang diperjuangkan,” katanya. – UTUSAN