KUALA LUMPUR: Honda Malaysia Sdn. Bhd. melancarkan kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) pertamanya, e:N1 dengan harga pengenalan RM149,900.
Model itu telah dibuka untuk pra-tempahan sejak April lalu dan telah menerima hampir 200 tempahan awal.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, syarikat sentiasa berada di barisan hadapan dalam inovasi dan membawa teknologi canggih kepada rakyat Malaysia.
Ujarnya, perjalanan ini bermula dengan teknologi IMA pada 2004, diteruskan dengan VTEC Turbo pada 2016, i-DCD pada 2017 dan teknologi e:HEV pada 2020.
“Kami berusaha untuk terus memperoleh kekuatan daripada sejarah kami sambil menerajui masa depan mobiliti.
“Berdasarkan asas ini, Honda Malaysia berada pada landasan yang tepat dalam mengemudi pasaran menerusi model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan e:HEV kami yang kekal relevan pada masa kini.
“Kami turut komited untuk menawarkan rangkaian model yang pelbagai bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.
“Memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pembangunan teknologi kami dan kenderaan BEV baharu ini pasti akan mengekalkan tradisi tersebut,” katanya pada majlis pelancaran e:N1 di sini semalam.
Model itu juga ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Mutiara Putih Platinum (Platinum White Pearl), Logam Aqua Topaz (Aqua Topaz Metallic) dan Mutiara Kelabu Bandar (Urban Gray Pearl).
Mengulas lanjut, Narushi berkata, pengenalan BEV merupakan langkah penting dalam perjalanan ke era elektrifikasi.
Katanya, pelancaran ini mengukuhkan lagi barisan xEV syarikat dan memberikan rakyat Malaysia lebih banyak pilihan mengikut keperluan mobiliti mereka selari dengan hala tuju perniagaan menjelang akhir 2025.
“Bagi memastikan pengalaman pelanggan yang lancar, keseluruhan proses pembelian EN-1 akan diintegrasikan ke dalam platform dalam talian kami.
“Melengkapi kemudahan digital ini, duta jenama kami yang terlatih dan berdedikasi sedia membantu pelanggan melalui pengalaman pembelian yang eksklusif dan peribadi, sekali gus menandakan evolusi dalam pengalaman pembelian Honda,” katanya. – UTUSAN