PETALING JAYA: Beregu No.1 negara, Pearly Tan-M Thinaah melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2025 di Bangkok selepas menumpaskan gandingan Indonesia, semalam.
Kemenangan ke atas Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti itu juga cukup manis kerana Pearly-Thinaah berjaya membalas dendam ke atas kekalahan mereka pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, Januari lalu.
Kemenangan tersebut bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila pasangan negara yang berada di kedudukan kelima dunia itu dipaksa bekerja keras sehingga ke set penentuan sebelum menang 21-17, 10-21, 21-15 dalam tempoh 56 minit.
“Kami memang tak mahu fikirkan perlawanan di Malaysia itu terlalu banyak, kerana permulaan kami sangat buruk ketika itu, terutama di laman sendiri.
“Kami masuk dengan penuh yakin, galakkan antara satu sama lain, dan hanya fokus kepada setiap mata yang kami lawan. Itu benar-benar menjadi buat kami kali ini,” kata Thinaah selepas perlawanan semalam.
Dalam pada itu, Pearly mengakui aksi di Stadium Nimibutr agak mencabar dari segi keadaan gelanggang dan kelajuan bulu tangkis, namun tidak menjadikannya sebagai alasan untuk hilang fokus.
“Setiap gelanggang ada cabarannya, tapi kami tidak mahu ia menjejaskan permainan kami, jadi kami tetap beri perhatian setiap hari,” kata Pearly.
Cabaran getir menanti di suku akhir apabila beregu No. 4 dunia itu akan bertemu pasangan China, Chen Qing Chen-Wang Ting Ge bagi perebutan ke separuh akhir kejohanan bertaraf Super 500 itu.-UTUSAN