Cklamovski ada sebab panggil Hong Wan, Eldstal

Sukan

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski tidak melakukan perubahan besar dalam senarai barisan pemain skuad kebangsaan yang dipanggil bagi aksi berdepan Cape Verde dan Vietnam.

Berdasarkan senarai yang diumumkan semalam, Cklamovski menyenaraikan 38 pemain dengan mengekalkan 25 pemain daripada pasukan sewaktu menentang Nepal pada aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, 25 Mac lalu.

Begitupun, Cklamovski membuat kejutan dengan memanggil beberapa nama yang kurang minit permainan seperti Nathaniel Hong Wan dan Junior Eldstal sekali gus mencetuskan persoalan mengenai apa yang mahu dilakukan pengendali dari Australia itu.

Beliau juga memilih untuk tidak memanggil pemain Sri Pahang seperti Ibrahim Manusi dan beberapa pemain lain yang memperagakan prestasi cemerlang pada final Piala Malaysia sebelum ini, kecuali menyenaraikan Sergio Aguero dalam senarai bersedia.

Begitupun, Cklamovski mempunyai alasan tersendiri mengapa beliau menyenaraikan pemain seperti Hong Wan dan Eldstal tetapi tidak memanggil pemain Sri Pahang.

“Saya menerima soalan yang sama (mengenai pemain kurang minit permainan) ketika kem latihan pertama dahulu. Mohamadou Sumareh datang ke kem dan menunjukkan prestasi yang amat baik, namun kali ini dia tidak tersenarai.

“Hong Wan sudah menjalani latihan beberapa minggu bersama JDT sebelum musim berakhir. Dia berlatih dengan baik dan bersedia sepenuhnya. Saya melihat sesi latihannya.

“Eldstal pula berlatih bersungguh-sungguh setiap hari. Saya lihat sesi latihan di JDT dan juga di kelab lain. Tahap intensiti dan semangat yang ditunjukkan sangat bagus dan itulah yang saya mahukan.

“Mereka (pemain Sri Pahang) bermain dengan baik dan saya menghormati usaha serta prestasi mereka sepanjang tahun ini. Mereka menunjukkan prestasi yang baik dan bersaing untuk merebut tempat, mungkin akan ada peluang untuk mereka pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Kem latihan pusat kali ini akan berlangsung dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula pada 18 hingga 26 Mei ini yang berlangsung di Johor Bahru sebelum latihan diteruskan di Kuala Lumpur dari 27 Mei hingga ke hari perlawanan.

Malaysia dijadual berdepan pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde bagi aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 29 Mei ini sebelum sekali lagi menentang lawan sama untuk perlawanan latihan secara tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, 3 Jun ini.

Dua aksi berkenaan untuk persiapan Harimau Malaya menjelang perlawanan kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional, 10 Jun ini.

Seramai 28 pemain akan melapor diri pada 18 Mei diikuti lapan pemain (25 Mei), manakala Dion Cools dan Hector Hevel akan melaporkan diri pada 1 Jun, sekali gus menyaksikan dua pemain tersebut terlepas aksi pertama menentang Cape Verde.-UTUSAN