PUTRAJAYA: Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berpandangan, perdebatan hanya satu kaedah, namun ia bergantung kepada calon-calon yang bertanding sama ada ingin menyambut atau menolak tawaran tersebut.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan berkata, perdebatan adalah berbentuk tawaran dan ia bukan lah paksaan.
“Masa saya dengan Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli) dulu Sinar Harian yang aturkan (debat). Jadi sekarang saya tak masuk gelanggang (pemilihan Timbalan Presiden parti), saya ingat Izzah (Nurul Izzah Anwar) pun dah respon perkara itu, dia kata fokusnya adalah untuk menyatukan dan ‘reach out’ kepada 29,000 perwakilan, sefaham saya dia tidak meletakkan keutamaan dan keperluan untuk debat.
‘Kedua-duanya adalah tokoh yang amat dikenali, kedua-duanya juga adalah aset kepada parti dan kita tinggal lagi sembilan hari sebelum perwakilan mengundi.
“Mereka adalah watak penting dalam parti dan perwakilan tahu kalau mana-mana terpilih apakah kelebihan yang parti akan dapat dan kedua-duanya adalah pilihan terbaik di kalangan yang baik-baik,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 Jabatan Imigresen (JIM) di Puspanitapuri hari ini.
Terdahulu, Rafizi pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Mentakab, Pahang, memaklumkan beliau sedia berdebat dengan Nurul Izzah bagi meredakan suhu panas dalam kalangan penyokong masing-masing ketika ini.
Namun, Nurul Izzah dalam satu sidang media menolak pelawaan berdebat kerana mahu menumpukan perhatian kepada usaha menyantuni perwakilan dan tidak mahu pemilihan kali ini tertumpu kepada soal politik semata-mata.
Dalam pada itu, Saifuddin turut berpandangan, kempen yang dilakukan oleh Rafizi pada Pemilihan Parti 2025 tidak akan mengeruhkan kedudukan PKR dalam kalangan ahli-ahlinya.
Katanya, ini kerana semua pimpinan di dalam parti berkenaan akhirnya akan bekerjasama dan bergandingan apabila tiba waktu pilihan raya.
“Parti Keadilan ini (sekurang-kurangnya) 30 (kerusi menang dalam pilihan raya). Dalam tempoh sebelum ini sampai 2025 ini pemilihan parti berlangsung dengan macam-macam gaya, macam-macam calon.
“Menang, kalah, keluar parti segala macamlah. Tapi, pada akhirnya kayu ukurnya apa, parti itu masuk pilihan raya rakyat terima atau tidak?
“30 (kerusi) itu adalah prestasi yang saya rasa terhormat lah. Itu yang lebih penting buat saya. Saya boleh cakap sebab saya lalui semua itu. Saya nampak Keadilan ini punya keupayaan untuk sesuaikan diri sejurus selepas itu,” katanya. – UTUSAN