PETALING JAYA: Magma Group Berhad (Magma), sebuah konglomerat Malaysia dan entiti pemegangan pelaburan yang berakar umbi dalam bidang hospitaliti, serta berkembang pesat dalam pembangunan hartanah dan sektor berkaitan, hari ini mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Magma Chain Management Sdn Bhd (Magma Chain Management) telah memeterai penubuhan usaha sama strategik dan perjanjian langganan dengan Chagee (M) Sdn Bhd (Chagee (M)).
Chagee adalah jenama teh premium yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, untuk mempercepatkan peluasan runcit Chagee di seluruh Malaysia melalui pelancaran runcit berperingkat.
Usahasama ini menandakan satu kejayaan penting dalam strategi kepelbagaian Kumpulan ke dalam segmen runcit makanan dan minuman premium. Di bawah terma perjanjian usaha sama, Chagee (M) akan memegang 60 peratus kepentingan dan Magma Chain Management 40 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama yang baru ditubuhkan, iaitu Chagee Magma Sdn Bhd (JVC).
JVC menyasarkan untuk membuka sehingga 300 cawangan Chagee yang diuruskan secara langsung di seluruh Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang, melalui pelancaran berperingkat, tertakluk kepada keadaan pasaran semasa. Pengumuman terperinci mengenai pelancaran kedai tertentu akan diberikan dalam masa terdekat.
Chagee ialah jenama teh premium terkemuka yang menyajikan minuman segar, sihat dan lazat.
Ditubuhkan pada 2017, Chagee telah mentransformasikan budaya teh tradisional kepada satu pengalaman gaya hidup moden, memanfaatkan teknologi termaju dan penjenamaan yang inovatif.
Dengan komitmennya terhadap kualiti, inovasi dan jalinan budaya, Chagee terus membentuk semula industri teh global.
CHAGEE memasuki pasaran Malaysia pada 2019 di bawah nama BaWangChaJi, sebelum menyatukan penjenamaan globalnya di bawah Chagee pada September 2021.
Hari ini, Malaysia ialah pasaran terbesar Chagee di luar China, dan operasinya di Malaysia telah diperakui Halal oleh Jakim, seterusnya mengukuhkan pendekatan inklusif jenama itu dalam memenuhi keperluan pengguna tempatan.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Magma Group Berhad, Datuk Seri Thomas Liang Chee Fong berkata, usaha sama itu mencerminkan visi strategik Kumpulan Magma untuk mempelbagaikan portfolio ke dalam segmen gaya hidup berpotensi tinggi dan segmen pengguna.
“Perkongsian itu memanfaatkan kecemerlangan operasi Chagee yang terbukti dan daya tarikan pengguna yang kukuh, yang turut diperkukuh dengan penyenaraian Chagee di Nasdaq yang berjaya, di samping kepakaran mendalam Magma dalam pembangunan dan pelaksanaan pasaran tempatan.
“Bersama-sama, kami melihat peluang yang besar untuk memperoleh nilai penting dalam pasaran teh premium Malaysia yang semakin berkembang.” katanya.
Kerjasama itu secara strategik menggabungkan kekuatan jenama Chagee yang mantap, kredibiliti global dan penawaran produk premium dengan wawasan pasaran tempatan dan kepakaran pembangunan Magma untuk bersama-sama memudahkan pelancaran cawangan baharu.
Dengan memanfaatkan latar belakang hospitaliti dan kehadiran komersial Magma di Malaysia, perkongsian itu berada pada kedudukan yang baik untuk mempercepatkan peluasan Chagee di seluruh negara dan bertindak balas terhadap permintaan yang semakin meningkat untuk pengalaman minuman premium yang berorientasikan gaya hidup.
Usaha sama ini sejajar dengan visi Kumpulan Magma yang lebih luas untuk membangunkan portfolio terpelbagai yang memenuhi keutamaan gaya hidup yang sentiasa berubah mengikut keperluan pengguna dinamik Malaysia, memacu nilai pemegang saham jangka panjang yang mampan. – UTUSAN