PETALING JAYA: Skuad sepak takraw negara berada di prestasi terbaik bagi menamatkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun dalam acara regu berpasukan di Piala Asia Sepak Takraw ASTAF 2025.
Ini selepas skuad negara mempamerkan prestasi cemerlang apabila muncul juara dalam acara kuadran dan regu selain naib juara acara double di kejohanan itu yang sedang berlangsung di Stadium Titiwangsa ketika ini.
Dalam acara berpasukan yang membuka tirai semalam, Malaysia dijangka sekali lagi membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Thailand di pentas final esok, sekali gus mengulangi perlawanan akhir Piala Dunia 2024.
Meskipun skuad negara dikecewakan oleh Thailand ketika itu, ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun tetap optimis kali ini anak-anak buahnya mampu menebus kekecewaan tersebut kali ini.
Katanya, skuad negara kini berada di landasan terbaik dan berpeluang cerah untuk menamatkan penantian panjang dalam acara regu berpasukan dan berharap kejayaan itu akan direalisasikan, esok.
“Dalam acara individu (regu, double dan kuadran), ketiga-tiganya telah mendapat kejayaan daripada tahun lepas hingga ke tahun ini. Namun, bagi acara berpasukan, kita sudah lama tidak memperoleh kejayaan.
“Jadi kita harap momentum terbaik pada edisi kali ini dapat menghadiahkan sesuatu kepada negara khususnya dalam sepak takraw,” katanya.
Kali terakhir skuad negara mengatasi Thailand dalam acara berpasukan ialah pada Sukan Sea Manila edisi 1991.-UTUSAN