Kemukakan laporan jika wujud pelanggaran disiplin semasa berkempen-Rafizi

Politik

KOTA BHARU: Calon-calon yang bertanding pada pemilihan PKR bagi penggal 2025-2028 perlu mengemukakan laporan kepada pihak Lembaga Disiplin parti sekiranya wujud pelanggaran disiplin sepanjang tempoh berkempen termasuk serangan peribadi.

Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, beliau yakin Lembaga Disiplin akan menjalankan siasatan secara adil sekiranya wujud pelanggaran tersebut.

Menurutnya, sebarang tindakan berhubung perkara tersebut perlu dilaksanakan dengan kepada semua pihak.

“Jangan masa dia serang, dia rasa tak buat salah, dia baling batu sembunyi tangan. Bila saya jawab, dia rasa panas, dia berlari ke Lembaga Disiplin.

“Serangan peribadi ke atas saya bermula secara tiba-tiba dan seolah-olah perkara tersebut telah disusun. Hal ini kerana pelbagai kenyataan demi kenyataan dibuat menyatakan akar umbi menolak.

“Kemudian tiba-tiba, keluar cerita tak jaga akar umbi. Saya tahu itu adalah sebahagian daripada kempen, jadi pastikan ia berlaku adil,” katanya kepada pemberita selepas selepas Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Kelantan dan Terengganu di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu memberitahu, beliau menyambut baik saranan supaya serang peribadi tidak dilakukan sepanjang tempoh berkempen.-UTUSAN