PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasruddin menyifatkan sikap sambil lewa dan kurang disiplin dalam kalangan pemain muda sebagai cabaran paling besar dalam misi ke Piala Dunia Remaja Hoki di India pada November depan.
Beliau yang pernah beraksi dalam tiga edisi Olimpik pada era 90an itu berkata, perubahan sikap perlu menjadi keutamaan sebelum memikirkan keputusan di atas padang.
“Ramai pemain sekarang anggap hoki sekadar aktiviti masa lapang, bukan kerjaya yang perlu diutamakan setiap hari.
“Zaman saya, kami bermain untuk hidup dan berjuang atas nama negara. Bukan main-main atau tunggu kena marah baru nak sedar,” kata Nor Saiful kepada Utusan Malaysia.
Pengendali Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu dilantik oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada 6 Mei lalu dan ditawarkan kontrak selama tiga tahun untuk membentuk pasukan yang mantap dalam tempoh berbaki enam bulan sahaja lagi menjelang Piala Dunia berkenaan.
Dalam pada itu, Nor Saiful kini sedang menilai 37 pemain dalam skuad sedia ada sebelum melakukan pemilihan akhir menjelang kejohanan dunia yang dijadualkan berlangsung pada 28 November hingga 10 Disember di Chennai, India.
Beliau juga menegaskan tiada tempat untuk ‘anak emas’ dan semua pemain akan dinilai berdasarkan prestasi, bukan pengaruh kelab atau bangsa.
“Kalau pemain dari luar TNB lebih bagus, saya akan ambil, asalkan mereka tahu bermain sebagai satu pasukan dan bukan untuk diri sendiri,” jelasnya.
Nor Saiful turut akan berbincang dengan ketua jurulatih skuad senior, Sarjit Singh dan Jawatankuasa Kejurulatihan KHM bagi memperkemas posisi utama terutama di benteng, penjaga gol dan pakar pukulan sudut penalti.-UTUSAN