Prasarana terap ciri mesra alam untuk laluan LRT Shah Alam

Perniagaan

PETALING JAYA:Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menampilkan pelbagai ciri mesra alam pada sambungan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Shah Alam apabila ia mula beroperasi pada September ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, ciri-ciri tersebut merangkumi pencahayaan diod pemancar cahaya (LED) pintar, sistem penyaman udara.

“Ciri-ciri tersebut dijangka menjimatkan tenaga sehingga 32 peratus serta kawasan penyimpanan tren yang bakal dilengkapi panel solar.

“Kami sangat teruja memulakan usaha ini dan berasa bangga untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Prasarana dan UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) di sini semalam.

Prasarana dan UNGCMYB akan melancarkan Vendor ESG Hub pada Ogos, sebuah platform digital khusus bagi menyediakan akses kepada latihan, alatan dan sumber berkaitan kelestarian alam sekitar kepada lebih 5,000 vendor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Azharuddin berkata, pelancaran platform itu mencerminkan peranan Prasarana sebagai syarikat milik kerajaan (GLC) yang mendukung pembangunan mampan dalam industri pengangkutan awam negara.

“Peranan kami bukan sekadar menggerakkan orang ramai, tetapi juga membina ekosistem perniagaan yang lebih kukuh dengan menyokong pertumbuhan PKS dan menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat.

“Vendor ESG Hub adalah antara usaha jangka panjang kami bagi membantu perniagaan tempatan berkembang secara mampan.

“Platform digital berkenaan bakal memanfaatkan vendor tempatan yang merangkumi 96 peratus daripada keseluruhan syarikat berdaftar di negara ini,” ujarnya.

Katanya, program latihan menerusi Vendor ESG Hub akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Julai ini, termasuk bimbingan khusus bagi membolehkan vendor membangunkan laporan kelestarian selaras piawaian ESG antarabangsa.

“Inisiatif tersebut turut melengkapkan pelan hala tuju kelestarian sedia ada termasuk usaha mengurangkan pelepasan karbon menerusi elektrifikasi bas, perluasan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta pelaksanaan program berasaskan komuniti,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar berkata, pihaknya menyasarkan tiga misi utama dalam memacu agenda kelestarian bersama syarikat rakan strategik.

“Misi pertama ialah meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, manakala misi kedua melibatkan pembangunan grid induk serta pembinaan stesen solar berskala besar di kawasan seluas 10,000 hektar.

“Bagi misi ketiga, kami akan bekerjasama dengan GLC untuk membangunkan grid induk dan turut melibatkan kakitangan kami secara langsung dalam pelaksanaannya,” katanya. – UTUSAN