Saifuddin nafi politik wang dalam pemilihan PKR

Politik

GEORGE TOWN: Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan berlakunya amalan politik wang dalam pemilihan parti itu kali ini.

Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) sebaliknya menegaskan, PKR kekal berpegang pada prinsip perjuangan yang diasaskan sejak penubuhannya.

Menurut beliau, tidak wujud unsur pemberian wang secara langsung untuk mendapatkan sokongan ahli parti seperti yang sering dikaitkan dengan politik wang.

“Saya tidak fikir Keadilan (PKR) berada pada tahap itu. Kalau menggunakan wang untuk sewa khemah, hotel atau jamuan, itu ada. Tapi kalau beri duit semata-mata untuk sokongan, saya tidak nampak ia berlaku,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri majlis sambutan Hari Penjara ke-235 tahun. Hadir merasmikan majlis berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Semalam, calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui bahawa parti itu berdepan risiko amalan politik wang yang dianggap sebagai salah satu bentuk rasuah paling sukar untuk dibuktikan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, perbelanjaan dalam kempen parti hari ini sebagai mencerminkan kemampuan logistik yang semakin baik, berbanding era awal penubuhan parti PKR sekitar 1998 dan 1999.

“Masa dulu kita buat program di warung, di rumah. Kongres pun dibuat di sekolah Cina sebab tidak ada dana. Sekarang ada saluran-saluran tertentu yang bantu dari segi logistik, dana, tetapi jangan sampai ia nampak mewah,” katanya.

Saifuddin turut mengingatkan bahawa masyarakat hari ini sangat sensitif terhadap kemewahan yang ditonjolkan dalam politik.

“Hotel lima, enam bintang itu tidak wajar. Saya tolak sama sekali pendekatan begitu, parti ini bukan dibina dengan kekuatan dana, tetapi dengan semangat dan idealisme rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa mana-mana ahli parti yang mempunyai bukti tentang wujudnya politik wang agar segera membuat laporan kepada Lembaga Disiplin parti.

Saifuddin berkata, semua pihak dalam PKR harus mengekalkan suasana harmoni menjelang hari pemilihan dan tidak terjebak dengan budaya politik perpecahan.

“Kita semua satu keluarga. Jadi, jangan guna pendekatan yang akhirnya merosakkan parti. Selepas pemilihan, kita perlu terus turun ke gelanggang,” katanya. – UTUSAN