Fadhlina mahu terus pimpin wanita PKR

Politik

PETALING JAYA: Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek bersedia menerajui sayap wanita parti itu bagi memastikan kesinambungan serta kestabilan dalam gerakan politik KEADILAN, khususnya memperkasa suara dan peranan wanita.

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, sepanjang tempoh kepimpinannya dari 2022 hingga 2025, pelbagai inisiatif penting telah dilaksanakan demi memberdaya wanita di semua lapisan masyarakat.

“Tiada apa yang lebih menginsafkan saya melainkan dengan rendah jiwa ingin menawarkan khidmat kebaktian untuk terus memimpin Wanita KEADILAN demi memastikan kesinambungan dan kestabilan dalam pergerakan parti ini.

“Sepanjang sesi 2022-2025, saya dan seluruh saf kepimpinan Wanita KEADILAN Pusat telah menterjemahkan iltizam untuk memberdaya wanita menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif di setiap peringkat. 

“Ia merangkumi agenda memperkasa wanita, memperjuangkan hak dalam isu keganasan rumah tangga, perlindungan kanak-kanak, kewarganegaraan serta advokasi berkaitan anti gangguan seksual,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Antara pencapaian utama diketengahkan ialah penubuhan Sekolah Wanita (SWAN), satu inisiatif strategik untuk melahirkan barisan pemimpin wanita yang berilmu, berani dan bersedia memimpin dalam bidang politik, ekonomi serta sosial.

Selain itu, katanya, program berbentuk aktivisme sosial seperti Misi Bantuan Bencana Banjir dan Bakul Makanan Wanita juga diteruskan demi memastikan kebajikan masyarakat terutamanya golongan wanita, otai reformis dan kanak-kanak.

“Penubuhan tabungan Dana 30WReps dan Run 2 Win pula diperkenalkan untuk menyediakan kebitaraan calon dan mempersiapkan jentera wanita bagi menghadapi PRN Sabah dan Pilihanraya Umum (PRU) Ke-16 yang akan datang.

“Perjuangan memberdaya dan mencerdaskan wanita dalam sistem demokrasi negara bermula dengan partisipasi wanita dalam parti KEADILAN. Lapangan aktivisme dan khidmat untuk rakyat terbentang luas untuk kita gerakkan wanita di akar umbi,” katanya.

Fadhlina turut menekankan bahawa gagasan Malaysia Madani memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja komited, tetapi juga konsisten dalam menjamin kesinambungan idealisme reformasi.

“Setiap pintu rumah yang diketuk oleh wanita KEADILAN mesti disertai dengan usaha mengetuk pintu hati rakyat, demi membina harapan dan keyakinan bersama,” katanya. – UTUSAN