Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah hampiri gelaran Terbuka Thailand

Sukan

PETALING JAYA: Dua beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah hampiri gelaran Terbuka Thailand selepas membenam pencabar masing-masing pada separuh akhir di Stadium Nimibutr, Bangkok, Thailand, hari ini.

Beregu lelaki No. 5 dunia, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua menyingkirkan pasangan tuan rumah, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-17, 21-13 dalam masa 38 minit.

Pada perlawanan akhir, esok, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan gandingan ke-75 dunia dari Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer.

Boe-Kjaer melakar kejutan besar ke atas pasangan No. 4 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia 21-13, 21-12 dalam masa 33 minit.

Dalam saingan beregu wanita pula, Pearly-Thinaah yang merupakan gandingan No. 4 dunia menewaskan pasangan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara 21-18, 21-12 dalam masa 45 minit.

Diletakkan sebagai pilihan pertama, beregu wanita No. 1 Malaysia itu akan menghitung pertemuan dengan pasangan pecah ganding Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo pada final.

Na Eun-Yeon Woo membenam cabaran beregu Taiwan, Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan 21-17, 21-19 dalam masa 55 minit pada satu lagi separuh akhir.

Bagi Aaron-Wooi Yik, jika tuah menyebelahi pada perlawanan akhir, esok, maka kejayaan itu kelak merupakan gelaran kedua mereka pada tahun ini.

Untuk Pearly-Thinaah pula, mereka berada dilandasan terbaik memburu gelaran sulung bagi musim 2025.

Kejayaan kedua-dua beregu tersebut melangkah sejauh perlawanan akhir beri petanda positif menjelang Malaysia Masters, minggu depan. – UTUSAN