Ramanan gesa hentikan fitnah

Politik

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan menafikan bermain taktik kotor memberikan wang tunai kepada penyokong untuk berkempen dalam pemilihan parti.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, klip video yang tular memaparkan beliau menyerahkan wang tunai kepada individu itu adalah pekerjanya yang dibayar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 2023.

“Itu selepas PRN Selangor habis. Kedudukan tempat tersebut yang mana saya beri duit adalah kepada pekerja saya sendiri, di luar pusat khidmat. Jadi, apa yang salah? Sampai buat politik kotor macam itu.

“Itu adalah fitnah. Lagi pun itu bukan beberapa bulan, itu sudah (dua) tahun lalu. Sekarang memang tengah pemilihan parti, banyak perkara-perkara sebegitu diputar, dipusing,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, dilaporkan tular klip video menunjukkan Timbalan Menteri Keusahawanan dan Koperasi itu menyerahkan wang tunai kepada beberapa individu.

Tambah Ramanan, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut dan perlu mematuhi arahan parti yang melarang serangan kepada mana-mana calon dibuat sepanjang pemilihan sehingga 24 Mei ini.

Namun, beliau menjelaskan ketika ini PKR sedang berdepan pemilihan parti dan sebagai calonn yang bertanding perlu berjumpa dengan akar umbi untuk meraih sokongan mereka sama ada secara peribadi atau di mana-mana perlu.

“Kita kena tanya kepada mereka, apa rintihan dan kesusahan yang dihadapi mereka. Itu yang penting. Kalau kita ambil pendekatan naik pentas dan menjerit-jerit, ini bukan Pilihan Raya Umum (PRU),” ujarnya. – UTUSAN