‘Kenapa tak ketengahkan calon untuk cabar Kamil?’

Politik

SHAH ALAM: Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli sepatutnya mencalonkan seseorang daripada pasukannya bagi jawatan Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti bagi sesi 2025-2028 pada Sabtu hadapan.

Ketua AMK Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, dakwaan mengatakan pemilihan bagi memberi laluan kepada Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai Ketua AMK baharu berikutan usianya sudah pun mencecah 35 tahun disifatkan janggal.

Menurutnya, Muhammad Kamil yang menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut bukanlah punca kenapa pemilihan diadakan, bahkan seorang daripada pasukan Mohd. Rafizi sepatutnya dicalonkan bagi mencabar kedudukan tersebut.

“Meneliti ucapan saudara rafizi yang meletakan punca pemilihan ini berlaku adalah kerana saudara Kamil perlu diletakan sebagai ketua AMK tetapi soalan pokok yang gagal dijawab adalah kenapa tiada mana-mana bakat daripada pasukan saudara Rafizi tidak di ketengahkan (calon) untuk mencabar kedudukan Kamil.

“Tambahan pula, hanya kerana seorang anak muda yang berumur 35 tahun boleh memaksa parti untuk melakukan pemilihan pastinya dilihat sangat janggal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegas Muhammad Izuan yang juga calon Timbalan Ketua AMK, semua calon pimpinan tidak seharusnya mengheret AMK dalam pertarungan bagi kedudukan masing-masing khususnya jawatan Timbalan Presiden.

“Pemilihan adik beradik bukan hanya sekadar kata-kata tetapi perlu diterjemahkan di dalam sikap dan perbuatan.

“Saya menyeru kepada semua calon pimpinan agar tidak mengheret AMK dalam kancah pertarungan bagi merebut timbalan presiden dan terus fokus menyampaikan misi dan visi kepada perwakilan yang akan mengundi di kongres pada hujung Mei nanti,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Ekonomi itu dilapor mendakwa pemilihan pada kali ini adalah untuk memberi laluan kepada Muhammad Kamil untuk memegang jawatan Ketua AMK bagi sesi 2025-2028 ia merupakan peluang terakhir berikutan usianya sudah pun mencecah 35 tahun.

Menurut Mohd. Rafizi dalam ceramahnya pada jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Kota Bharu, Kelantan, malam tadi, justeru Muhammad Kamil tidak lagi berpeluang untuk merebut jawatan tersebut berikutan usianya sudah melebihi had untuk pemilihan bagi penggal akan datang. – UTUSAN