BNM mungkin turunkan OPR lebih daripada 25 mata asas

Perniagaan

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada bulan Julai dan terdapat kemungkinan lebih banyak pemotongan tahun ini sekiranya data ekonomi terus merosot melebihi jangkaan.

Standard Chartered Global Research berkata, unjuran ini selepas data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama yang menunjukkan pertumbuhan 4.4 peratus, menurun daripada 4.9 peratus pada suku sebelumnya.

“BNM dalam laporan KDNK suku pertama juga menyatakan pertumbuhan KDNK 2025 mungkin sedikit di bawah sasaran 4.5 hingga 5.5 peratus, dengan risiko terhadap unjuran pertumbuhan dilihat lebih cenderung ke arah penurunan,” katanya dalam nota kajian.

Firma penyelidikan itu menganggarkan kadar tarif balas sebanyak 24 peratus dan 10 peratus ke atas barangan eksport Malaysia boleh menolak pertumbuhan KDNK masing-masing sebanyak kira-kira 0.7 mata peratusan dan 0.4 mata peratusan.

Jelasnya, ini berdasarkan andaian bahawa 30 peratus eksport Malaysia dikecualikan daripada tarif dan kadar keanjalan import Amerika Syarikat (AS) adalah 0.5 kali.

“Kami menyemak semula unjuran inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) 2025 kepada 1.8 peratus, berbanding 2.2 peratus sebelum ini.

“Penurunan unjuran inflasi ini berpunca daripada harga minyak yang lebih rendah serta inflasi semasa yang lebih perlahan daripada jangkaan. KDNK yang berkembang di bawah potensi juga dijangka membantu mengekang tekanan terhadap inflasi teras,” ujarnya. – UTUSAN