Untung bersih JPG naik kepada RM75.9j pada suku pertama

Perniagaan

PETALING JAYA: Johor Plantations Group Berhad (JPG) mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak RM75.9 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, berbanding RM49.9 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

Prestasi lebih baik berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi.

Menurut kenyataannya, hasil suku tahunan meningkat 15.4 peratus kepada RM340.43 juta pada berbanding RM294.91 juta pada suku sama 2024.

Sementara itu, perolehan sesaham (EPS) pada suku tersebut meningkat kepada 3.04 sen daripada 2.45 sen setahun lalu.

Penghantaran MSM merosot sebanyak 10.7 peratus daripada 62,925 tan pada suku pertama 2024 kepada 56,203 tan pada suku tinjauan dan penghantaran PK merosot sebanyak 4.6 peratus, sejajar dengan aliran industri.

“Walaupun jumlah pengeluaran yang lebih rendah, kumpulan terus menghasilkan keputusan kewangan yang kukuh.

“Ini didorong oleh kenaikan 22.2 peratus dalam purata harga jualan MSM yang direalisasikan, kenaikan 65.2 peratus dalam harga jualan PK dan premium harga jualan yang lebih tinggi yang dicatatkan pada suku tersebut.

“Ia telah mengukuhkan keupayaan kumpulan untuk mengekalkan prestasi melalui pengoptimuman nilai,” katanya.

Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.00 sen sesaham bagi suku tersebut, yang perlu dibayar pada 24 Jun 2025.

Pengarah Urusannya, Mohd Faris Adli Shukery berkata, syarikat kekal yakin dengan prospek tahun ini dan komited untuk mengekalkan pembayaran dividen tahunan minimum sebanyak 50 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATAMI).

“Kami berbesar hati dengan permulaan tahun yang kukuh. Tumpuan kami kekal pada menyampaikan pertumbuhan jangka panjang, mampan melalui kecemerlangan operasi, inovasi dan penciptaan nilai untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.

Memandangkan paras stok yang tinggi dan pemulihan beransur-ansur dalam permintaan, Kumpulan kekal optimistik dengan berhati-hati tentang rancangan operasi dan disiplin pengeluarannya untuk mengekalkan prestasi yang berdaya tahan. 

“Walaupun harga MSM mungkin terus menghadapi tekanan jangka pendek di tengah-tengah ketidaktentuan global yang lebih meluas, kumpulan mengekalkan pandangan berhemat dan berada di kedudukan strategik untuk menangkap nilai apabila asas pasaran mengukuh pada suku-suku hadapan,” ujarnya.-UTUSAN