Leraikan dengan baik, jangan panaskan suhu pemilihan PKR

Politik

LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan calon-calon yang bertanding dalam pemilihan PKR di peringkat pusat agar lebih berhati-hati ketika berkempen.

Menurut beliau, walaupun berbeza pendapat antara satu sama lain namun mereka harus menjaga batasan agar dapat menunjukkan penghargaan kepada semua tokoh yang terlibat.

“Kempen iyalah ada sedikit sebanyak, tapi masalahnya ini tokoh-tokoh yang banyak jasa. Jadi saya nasihat kawan-kawan di bawah kalau komen itu biar berhati-hati, jangan kita lupa orang-orang yang banyak berkorban, banyak berjasa.

“Ini tokoh yang melalui banyak derita sebelumnya, begitu juga calon-calon lain dalam kalangan Naib Presiden (ada yang) senior walaupun umur muda tapi banyak dia lalui. Jadi kalau pun beza pendapat harus jaga supaya tetap kita tunjukkan penghargaan kepada semua tokoh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat PKR Langkawi.

Beliau yang juga Presiden PKR ditanya tentang kempen penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilihat agak ‘garang’ berbanding pencabarnya, Nurul Izzah Anwar.

Ketika ditanya siapa pilihan beliau untuk memenangi jawatan nombor dua parti itu, Anwar secara berseloroh hanya menyebut namanya sendiri sebagai pilihan menjadi timbalannya.

Terdahulu, dalam ucapan Perdana Menteri berkata, beliau tidak terlalu susah hati melihat persaingan antara calon-calon itu terutama bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden kerana sebahagian mereka adalah pejuang-pejuang asal yang sudah lama setia dan bersama parti.

“Oleh itu kita jangan tambah perhangatkan, tingkat suhu kehangatan. Kita mesti leraikan dengan baik kerana walaupun berbeza pendapat, dalam satu perkara kita tak boleh nafikan jasa dan khidmat pengorbanan tinggi oleh orang ini.

“Jadi sementara kita pilih nak sokong A atau B, jangan kita lupa bahawa A, B, C, D dan E di semua peringkat itu orang yang ada jasa kepada kita. Sebahagiannya lebih jauh pengorbanannya, lebih jauh kerjanya daripada kita. 

“Janganlah kita beri pandangan atau pun sanggahan yang berlebihan. Janganlah kita lupa hebat-hebat kita tak boleh saingi perjuangan dan sumbangan mereka yang ramai ini,” katanya.

Tambah beliau, mereka tidak boleh mengambil sikap bermusuhan selepas pertandingan berakhir sebaliknya menyantuni antara satu sama lain dan memaafkan apa sahaja yang berlaku sebelum itu.

Anwar berkata, jika beliau dapat melantik dua jawatan Timbalan Presiden dan 11 bagi Naib Presiden, kesemua calon yang bertanding bagi kedua-dua jawatan itu akan dipilihnya.-UTUSAN