BN jangan terlalu selesa walaupun menang besar PRN Melaka

Politik

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) diingatkan untuk tidak terlalu selesa dengan yang diperoleh parti itu pada 2021 meskipun memenangi 21 kerusi dan berjaya membentuk kerajaan negeri di Melaka dengan majoriti dua pertiga kerusi.

Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, landskap politik telah banyak berubah khususnya dengan impak kemasukan undi 18 tahun dan pendaftaran automatik yang belum dikuatkuasakan pada 2021.

“Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 telah menunjukan Perikatan Nasional (PN) telah bangkit semula di Melaka dengan memenangi beberapa kerusi Parlimen penting yang sebelum ini merupakan kubu kuat UMNO seperti Parlimen Jasin, di mana Akmal (Datuk Dr Akmal Salleh) sendiri merupakan Ketua Bahagian UMNO Jasin.

“Rakyat Melaka sudah muak dengan polemik terbuka diantara Akmal dan beberapa pemimpin PH bergaduh berkenaan agihan kerusi DUN yang berlaku baru-baru ini.

“Rakyat mahu pemimpin yang bukan hanya mempertikai dan cari gaduh. Rakyat mahu pemimpin yang mencari solusi menyelesaikan masalah rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Dr. Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membuktikan mereka mempunyai pemimpin ‘Yang Berkhidmat’ dan tidak hanya timbul pada musim pilihan raya jika mahu menang lebih banyak kerusi.

Mengulas hasrat Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Akmal yang juga Exco Kerajaan Melaka berkata, rakyat negeri itu menuntut kehadiran pemimpin benar-benar berkhidmat sepanjang masa.

Tambah Harris Idaham, PN adalah sebuah gabungan harmoni yang dinaungi di bawah satu payung dan bukan gabungan campuran seperti PH-BN.

“Kestabilan politik yang didambakan oleh rakyat Melaka dapat dipenuhi oleh PN yang tidak akan mencabar rakan-rakan komponen untuk sama-sama berlawan di kerusi tertentu seperti yang dicabar oleh Akmal baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN