Malaysia mampu terajui industri pembuatan bateri EV di ASEAN

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Malaysia dalam kedudukan kukuh untuk menerajui pembuatan komponen bateri kenderaan elektrik (EV) dan menyokong ekosistem mobiliti serantau yang semakin berkembang berdasarkan kekuatan negara dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 menggariskan hala tuju yang jelas untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi kenderaan generasi baharu, mobiliti sebagai perkhidmatan (MaaS), serta teknologi Revolusi Industri 4.0.

“Namun, visi ini hanya dapat direalisasikan sekiranya kita merapatkan jurang infrastruktur, memodenkan rangkaian logistik dan mempermudah pergerakan rentas sempadan.

“Langkah ini penting bagi membolehkan aliran barang, perkhidmatan dan bakat yang lancar demi membina ekosistem automotif yang lebih tangkas, tahan kejutan dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Automotif ASEAN anjuran PwC Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminar berkata, sektor automotif negara kini menyaksikan pertumbuhan ketara dalam segmen EV, dengan jumlah jualan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) meningkat 19 peratus pada 2024 kepada 45,562 unit berbanding 38,240 unit pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 14,766 unit adalah EV bateri (BEV) manakala 30,796 unit lagi ialah kenderaan hibrid.

“Malaysia menyasarkan EV mewakili 20 peratus daripada keseluruhan kenderaan di jalan raya menjelang 2030 dan 80 peratus menjelang 2050, selaras dengan Pelan Induk Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) dan Rancangan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya.

Menurut beliau, peningkatan pelaburan dalam sektor EV dan bateri di seluruh ASEAN perlu dilihat sebagai peluang integrasi serantau bukannya persaingan sifar.

“Untuk menggerakkan ekosistem automotif masa depan, kerjasama menyeluruh antara kerajaan, industri, akademia, institusi kewangan dan pengguna adalah amat penting bukan sahaja dalam negara, tetapi juga merentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia, Nurul A’in Abdul Latif berkata, industri automotif sedang mengalami perubahan besar dipacu oleh teknologi, peraturan, keutamaan pelaburan dan kecenderungan pengguna.

Menurutnya, kerjasama itu dirangka untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri automotif global, menyokong inisiatif serta kepimpinan negara semasa memegang jawatan Pengerusi ASEAN, selain menyediakan pandangan berasaskan data bagi merangka dasar automotif dan strategi pelaburan.

“MoU ini mewujudkan asas untuk pertukaran yang lebih bermakna antara dasar dan industri, membantu memastikan segala usaha berlandaskan maklumat, menggalakkan peningkatan kemahiran melalui perkongsian ilmu, dan sejajar dengan keutamaan negara.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan MARii dalam memacu transformasi industri serta menyediakan sokongan nasihat menerusi kepakaran kami dalam urusan automotif dari perancangan strategik hingga pelaksanaan dan integrasi pasca urus niaga,” katanya. – UTUSAN