PKR perlu kekal bawa semangat kekitaan selepas pemilihan

Politik

SEREMBAN: Ahli PKR diingatkan untuk kembali membawa semangat kekitaan walaupun apa juga keputusan yang berlaku selepas pemilihan parti itu pada 23 Mei ini.

Calon timbalan presiden, Nurul Izzah Anwar berkata, tempoh 24 bulan selepas pemilihan itu nanti merupakan waktu penting terutama buat PKR menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) terutama untuk kekal sebagai kerajaan.

Menurutnya, pemimpin dan ahli yang sudah lama bersama parti yang beliau sifatkan sebagai ‘otai’ juga perlu sentiasa memainkan peranan dengan berkongsikan pengalaman agar calon yang menang tidak kekok memimpin negeri.

“Kita mahu pastikan di belakang calon ada pasukan yang kuat untuk menggerakkan jentera. Otai (pemimpin lama) harus dikuatkan dalam sesi berkongsi. (Oleh itu) Akademi politik ini (dilaksanakan) untuk bagaimana mahu jadi exco dan calon bukan sekadar calon.

“Malah, selepas 24 Mei, di peringkat cabang, bagaimana kita boleh memujuk satu sama lain kerana setiap seorang sangat bernilai buat kita.

“Kita harap semangat kekitaan malam ni diteruskan supaya dalam tempoh 24 bulan akan datang, hero-hero dan heroin-heroin di peringkat negeri dan cabang dilihat terus mampu memberi ikatan teguh kepada parti serta kerajaan,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Temu Rapat Akar Umbi Zon Selatan di sini semalam.

Sementara itu, ketika ditanya oleh pemberita mengenai pertembungannya dengan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan nombor dua parti itu, Nurul Izzah berkata, beliau sentiasa optimis dengan pemilihan kali ini.

“Insya-Allah saya sentiasa optimis seperti mana kita kekalkan semangat hari ini adalah pertandingan dalam skop kawan-kawan dan memperjuangkan kebersamaan.

“Itu sahaja komen daripada saya, beliau (Rafizi) sahabat saya dan sudah tentu apa yang kita mahukan adalah menggarap semua bakat-bakat yang ada,” katanya.-UTUSAN.