KUALA LUMPUR: Rangka Tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal dilancarkan hujung tahun ini sebagai pelan hala tuju menyeluruh untuk pembangunan kawasan tersebut.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, dokumen itu akan merangkumi visi jangka panjang, aspirasi strategik serta peluang pelaburan yang ditawarkan kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.
“Anggaplah ia sebagai dokumen rujukan utama untuk para pelabur berpotensi, penggubal dasar dan orang awam,” katanya pada Dialog Rakan Strategik JS-SEZ: Memperkasa Pemudahcara di sini semalam.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Surat Hasrat (LOI) antara Kementerian Ekonomi bersama rakan kongsi perbankan kolaboratif iaitu Malayan Banking Berhad (Maybank), CIMB Bank, CGS International, Sumitomo Mitsui Banking Corporation (SMBC), Bank of America dan Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited (HSBC).
Rafizi berkata, pelaburan langsung asing (FDI) bagi suku pertama tahun ini telah melepasi jumlah keseluruhan bagi sembilan bulan pertama tahun lalu, menjadikan JS-SEZ berpeluang melebihi sasaran FDI sebanyak RM60 billion lebih awal daripada jadual.
“Pencapaian ini hasil kerjasama proaktif antara pihak berkuasa negeri Johor dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), selain usaha berterusan menarik pelaburan bernilai tinggi.
“Pada masa sama, pembangunan struktur dan infrastruktur di zon tersebut juga sedang giat dijalankan, mewujudkan asas kukuh untuk pertumbuhan berterusan.
“Jika kita dapat mencapai RM60 bilion FDI sebelum JS-SEZ dilancarkan secara rasmi, ia merupakan petanda baik untuk Johor dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Dalam menjelaskan kelebihan JS-SEZ, beliau berkata, kekuatan unik Johor termasuk kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura serta potensi pertumbuhan yang luas.
“Kita tidak dapat mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus tanpa memperkenalkan enjin pertumbuhan baru dan JS-SEZ direka sebagai enjin tersebu, yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Johor tetapi kepada seluruh negara,” ujarnya.
Beliau berkata, beberapa faedah utama daripada zon itu, termasuk peningkatan hasil cukai daripada pelabur berskala besar, penciptaan peluang pekerjaan dan manfaat ekonomi bersama bagi kerajaan persekutuan dan negeri.
Rafizi turut memberi jaminan bahawa kawasan sekitar akan menikmati manfaat nyata dalam tempoh dua hingga tiga tahun, menjadikan JS-SEZ pemangkin utama pertumbuhan mampan negara. – UTUSAN