IMOLA: Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton secara terbuka berkata terdapat lebih banyak lagi yang akan datang daripada pasukannya selepas mempamerkan pemanduan yang mengagumkan untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam Grand Prix (GP) Emilia Romagna, Ahad lalu.
Juara dunia tujuh kali itu bangkit semula selepas menamatkan sesi kelayakan di tempat ke-12 di Imola dengan pemulihan cemerlang ke tempat keempat, memanfaatkan strategi berbeza apabila memulakan perlumbaan menggunakan tayar keras.
Hamilton berjaya mengejar dan memotong rakan sepasukan, Charles Leclerc berikutan tayarnya yang lebih segar, sekali gus mencatat keputusan terbaiknya dalam perlumbaan GP sejak menyertai Ferrari dari Mercedes pada musim sejuk lalu.
Pelumba dari Britain itu merujuk kepada sesuatu yang telah diperbetulkannya untuk membantu dia menunjukkan peningkatan di Imola selepas permulaan tidak menentu bersama Ferrari.
“Saya memang jangka kami akan buat peningkatan hujung minggu ini dengan sesuatu yang saya telah betulkan dan saya rasa masih ada lebih banyak lagi yang akan datang.
“Persediaan kereta sangat bagus, kereta terasa sangat hebat dan pasukan telah melakukan kerja yang menakjubkan daripada segi strategi dan hentian pit.
“Terdapat tekanan besar ke atas kami kerana kami bergelut sepanjang tahun ini dengan kereta, terutamanya dalam sesi kelayakan.
“Saya tak ingat bila kali terakhir saya ada perlumbaan seperti ini, memecut ke hadapan. Mungkin ada tahun lepas, tapi kali ini berbeza kerana saya memandu untuk Ferrari.
“Sedikit demi sedikit strategi mula menjadi dan kereta benar-benar menyerlah apabila saya tukar ke tayar medium, dan panggilan strategi di akhir perlumbaan juga sangat tepat,” katanya. – AGENSI