Gas Malaysia lancar Stesen Suntikan Biometana Berpusat pertama

Perniagaan

PETALING JAYA: Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) mengesahkan komitmennya terhadap agenda tenaga hijau negara dengan pelancaran rasmi Stesen Suntikan Biometana Berpusat pertama di Malaysia.

Stesen itu dilancarkan melalui anak syarikat milik penuhnya, Gas Malaysia Green Ventures Sdn. Bhd. (GMGV),

Majlis perasmian tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama Pengerusi Gas Malaysia, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap.

Stesen Suntikan Biometana Berpusat, yang diterajui oleh GMGV mempunyai kedudukan yang strategik untuk menerima biometana dari kilang kelapa sawit sekitar dan menawarkan penyelesaian terpusat untuk menyuntik biometana ke dalam grid gas asli.

Stesen itu dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada separuh kedua 2025.

Wan Zulkiflee berkata, pihaknya telah menyediakan pelan strategik 10 tahun, dikenali sebagai Strategi GM32, yang memberi tumpuan kepada memperkukuh perniagaan teras Gas Malaysia, meneroka peluang baharu di sepanjang rantaian nilai gas dan mempelbagaikan penyelesaian tenaga yang lebih bersih.

Katanya, melalui GMGV, kumpulan kekal komited dalam mengurangkan pelepasan karbon dan memudahkan peralihan kepada tenaga yang lebih bersih merentas industri.

“Selaras dengan usaha ini, inisiatif biometana akan kekal sebagai komponen penting dalam trajektori pertumbuhan kami dalam memacu penyelesaian tenaga mampan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahan pula, usaha Gas Malaysia ini adalah sejajar dengan dasar utama negara, termasuk Dasar Tenaga Negara 2022–2040 (DEB) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Rangka kerja ini menggariskan aspirasi Malaysia untuk beralih ke arah ekonomi rendah karbon dan ekosistem tenaga yang lebih inklusif dan mampan.

Wan Zulkiflee turut mengiktiraf sokongan yang diterima daripada Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam merangka dasar dan insentif yang mempercepatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
“Melihat ke hadapan, kami kekal teguh dalam komitmen kami dalam memupuk perkongsian dan menyampaikan pertumbuhan mampan yang mencipta nilai jangka panjang.

“Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan, rakan kongsi perniagaan kami dan pemegang kepentingan utama, Gas Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai tahap baharu.

“Bersama-sama, mari terus memajukan kemajuan bermakna ke arah masa depan yang lebih inklusif, rendah karbon dan mampan untuk semua,” ujarnya. – UTUSAN