Malakoff, Hicom Automotive perkukuh kerjasama menerusi projek solar kedua

Perniagaan

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) memperluas jejak tenaga boleh diperbaharui (TBB) menerusi pemeteraian Perjanjian Pembelian Tenaga Solar kedua bersama Hicom Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd. (Hicom Automotive).

Projek terbaharu ini menerusi anak syarikat solar komersial dan industri (C&I) miliknya, Malakoff Radiance Sdn. Bhd. (MRSB ) melibatkan kapasiti terpasang sebanyak 4.22 megawatt peak (MWp).

Ia bakal menjadi pelaksanaan solar terbesar MRSB di satu lokasi, sekali gus menandakan permulaan fasa kedua dalam kerjasama strategik yang semakin berkembang antara kedua-dua pihak.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, projek ini merupakan pencapaian penting bagi MRSB, bukan sahaja dari segi kapasiti terpasang, tetapi juga dalam mengukuhkan peranan kumpulan sebagai pemacu utama dalam usaha nyahkarbon industri dan peralihan tenaga.

Katanya, permintaan tenaga yang semakin meningkat dalam sektor industri memberi tekanan yang besar ke atas grid nasional, sekali gus menyerlahkan keperluan untuk strategi tenaga yang lebih bijak dan berdaya tahan.

“Menurut Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa, jumlah penggunaan tenaga Malaysia dijangka meningkat pada kadar purata 2.0 peratus setahun dan hampir berganda menjelang 2050.

“Dalam usaha merancang ke hadapan, Malakoff akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan portfolio TBB melalui kerjasama strategik yang mampu menjana nilai jangka panjang dan kecekapan operasi.

“Kerjasama ini membuktikan bagaimana pemain industri berskala besar boleh melangkaui komitmen kelestarian dengan melaksanakan tindakan iklim yang bermakna menyepadukan TBB dalam operasi teras dan menghasilkan impak yang dapat diukur merentasi rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan.

Projek fasa pertama melibatkan sistem fotovoltaik suria (PV) bumbung dengan kapasiti 2.0 MWp di fasiliti pengeluaran HICOM Automotive di Pekan, Pahang, yang mula beroperasi secara komersial pada 1 Julai 2022.

Meneruskan momentum ini, projek fasa kedua yang dijadualkan bermula Jun ini melibatkan reka bentuk dan pemasangan penyelesaian tenaga solar yang dipertingkatkan di fasiliti sama, menggabungkan sistem PV bumbung konvensional dengan teknologi Fotovoltaik Bersepadu Bangunan yang menyepadukan panel solar secara langsung ke dalam struktur bumbung tempat letak kereta.

Menurut Anwar Syahrin, pendekatan bersepadu ini bukan sahaja menggabungkan penjanaan TBB dengan reka bentuk seni bina, malah mengoptimumkan kecekapan sistem secara keseluruhan.

“Sistem ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan fasiliti terhadap tenaga elektrik konvensional secara signifikan, menjana penjimatan kos jangka panjang dan memperkukuh komitmen HICOM Automotive terhadap amalan pembuatan yang lestari.

“Malakoff giat memacu pertumbuhan inisiatif TBB sambil memastikan keselamatan tenaga negara kekal utuh,” katanya. – UTUSAN