Aaron-Wooi Yik kini No. 3 dunia

Sukan

KUALA LUMPUR: Kem badminton negara meneruskan penguasaan di peringkat antarabangsa apabila beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini menghuni ranking ketiga dunia.

Kedudukan itu diperoleh selepas Aaron-Wooi Yik mendaki dua anak tangga dari No.5 dengan 83,170 mata apabila merangkul gelaran Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Bangkok pada Ahad.

Lebih luar biasa, kejayaan itu menyaksikan Malaysia kini memiliki dua gandingan lelaki dalam kelompok tiga terbaik dunia buat kali pertama dalam sejarah kem badminton negara.

Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kekal di kedudukan kedua dunia dengan 91,090 mata berdasarkan ranking terbaharu dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik dijangka sukar kembali ke ranking No. 2 dunia walaupun muncul juara Masters Malaysia yang sedang berlangsung minggu ini.

Sebaliknya, peluang lebih cerah buat Sze Fei-Izzuddin untuk naik ke ranking No. 1 jika mereka mara jauh dan pasangan Denmark yang menggengam takhta ranking, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen tergelincir.

Dalam perkembangan lain, beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah kekal di ranking keempat dunia manakala perseorangan lelaki, Lee Zii Jia turun satu anak tangga ke kedudukan ke-11. – UTUSAN