PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) menawarkan kelebihan eksklusif kepada 10,246 ahli Kelab Mystar menerusi kerjasama strategik bersama Menara Taming Sari.
Melalui kerjasama ini, ahli Kelab Mystar iaitu individu berusia 18 tahun ke bawah yang mempunyai akaun Simpanan-i Salam Mystar bersama CBP akan menikmati diskaun istimewa sebanyak 13 peratus untuk pembelian tiket masuk ke Menara Taming Sari.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha CBP dalam memberi nilai tambah kepada pemegang akaun Mystar sekali gus memperkukuh hubungan dengan rakan strategik.
“Tawaran diskaun istimewa itu dijangka menarik lebih ramai ibu bapa membuka akaun Mystar untuk anak mereka yang akan menerima pelbagai manfaat seperti penyertaan kem cuti sekolah dan penerimaan anugerah kecemerlangan akademik,” katanya dalam kenyataan.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara CBP dan Menara Taming Sari turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari, Nur Azan Hassan dan Ketua Jabatan Deposit Runcit CBP,
Zalifah Ibrahim, hari ini.
Khairil Anuar berkata, kolaborasi terbabit mencerminkan usaha berterusan CBP dalam mencari pendekatan kreatif dan berimpak tinggi untuk mengembangkan jaringan perkhidmatan serta menjadikan produk CBP lebih dekat di hati pelanggan.
“Kerjasama ini bukan saja memberi kelebihan kepada ahli Mystar, malah membantu memacu pertumbuhan keahlian baharu dan meningkatkan kesedaran mengenai manfaat perbankan koperasi di Malaysia,” katanya. – UTUSAN