Tunku Mahkota Ismail ‘arkitek’ bola sepak, tak adil terus kritik

Sukan

JOHOR BAHRU: Tindakan pihak yang mengkritik Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas penglibatan baginda dalam sukan bola sepak tanah air adalah tidak adil.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, tindakan sedemikian juga boleh menggugat usaha membina ekosistem bola sepak yang profesional dan berkesan.

Justeru, beliau kecewa dengan kritikan, provokasi dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Tidak dinafikan Tunku Mahkota Ismail merupakan individu yang berpengaruh dan progresif dalam sejarah bola sepak negara. Menerusi perancangan yang teliti, baginda memperkenalkan struktur pengurusan profesional, sistem pembangunan akar umbi, kemudahan bertaraf dunia dan budaya prestasi tinggi.

“Tiada keterlaluan jika saya katakan, Tunku Mahkota Ismail merupakan ‘arkitek’ revolusi bola sepak Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Hairi berkata, tindakan mempolitikkan usaha baginda hanya akan merugikan pembangunan sukan bola sepak negara.

“Dalam dunia sukan moden, kita perlu seorang tokoh atau pemimpin yang berani, berwawasan dan konsisten. Baginda contoh terbaik dalam hal ini.

“Sehubungan itu, semua pihak termasuk persatuan negeri dan kelab perlu kembali fokus untuk membina semula bola sepak negara secara bersama, bukan menuding jari atau memboikot yang akhirnya menghancurkan impian pemain dan peminat,” katanya.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan baginda untuk menerima kehadirannya atau ‘menghabiskan dirinya terus’.

“Jikalau apa yang membuatkan anda sakit hati adalah pengaruh, maka saya ada berita kurang baik, pengaruh itu tidak akan hilang. Sama ada dalam bola sepak, politik atau apa jua bidang sekalipun, ia adalah sebahagian daripada ekosistem.

“Saya baru 41 tahun, dan pengaruh saya, kuasa, pengalaman, kewangan hanya akan bertambah dari sini,” titah baginda dalam laman sosial Facebook, hari ini.-UTUSAN