Kejutan tarif dorong pengukuhan ringgit

Perniagaan

PETALING JAYA: Ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) seperti ditunjukkan Indeks Dolar AS (DXY) yang merosot ke paras 99.684 mata berikutan prospek ekonomi negara itu yang kurang memberangsangkan selain kebimbangan mengenai tarif.

Pada 5 petang semalam, ringgit mengukuh kepada 4.2700/2760 berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tindakan Moody’s Rating menurunkan penarafan kredit berdaulat kerajaan AS daripada Aaa kepada Aa1 telah menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan kerajaan AS untuk melunaskan hutang mereka.

Katanya, sebelum ini pihak S&P Rating telah pun menurunkan penarafan AS pada 2011, manakala Fitch Rating melakukan perkara yang sama pada tahun 2023.

“Sukar untuk dipastikan sama ada pengukuhan ringgit ini bersifat sementara atau menunjukkan pemulihan yang lebih kukuh dalam jangka sederhana hingga panjang.

“Yang pasti, kejutan tarif telah menyebabkan keyakinan terhadap ekonomi AS semakin merosot.

“Justeru, ia mungkin bersifat berstruktur yang mana usaha nyah dolar AS telah dan sedang berlaku. Justeru, kemungkinan ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS adalah tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd Afzanizam berkata, pengukuhan mata wang tempatan seharusnya memberi manfaat kepada sektor import seperti agromakanan, mesin dan peralatan, farmaseutikal, baja dan bahan kimia.

“Bagi mengekal momentum pertumbuhan ini, kerajaan perlu memastikan keyakinan ekonomi diterus dipaparkan melalui pelaksanaan dasar ekonomi yang bersifat reformis.

“Dasar seperti konsolidasi fiskal dan reformasi institusi akan memastikan ekonomi Malaysia akan berdaya saing dan sentiasa dapat menarik perhatian para pelabur untuk datang dan melabur dinegara kita,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengukuhan ringgit disebabkan kelemahan nilai mata wang dolar AS yang bermula sejak pengumuman tarif oleh Presiden AS, Donald Trump dan kemudian menangguhkannya pula.

Katanya, ia menyebabkan ketidak tentuan kepada pasaran kewangan dan ekonomi dunia secara keseluruhannya.

“Keyakinan pengurus dana dunia berkurangan kepada dasar Trump lalu menyebabkan pengaliran keluar pelaburan daripada pasaran kewangan AS sama ada pasaran saham dan lebih lagi dari pasaran bon terbitan perbendaharaan AS.

“Aliran keluar ini disebabkan penjualan mata wang dolar AS untuk melabur di luar AS pula seperti di Eropah dan China,” jelansya.

Selain itu, beliau berkata, tekanan ke atas Rizab Persekutuan (Fed) oleh Trump untuk memotong kadar faedah terus memberikan pandangan negatif kepada kekuatan dolar untuk jangka panjang.

“Walaupun pada mesyuarat baru-baru ini Fed mengekalkan kadar faedah tetapi tekanan berterusan oleh pentadbiran Trump menunjukkan bahawa kadar faedah akan diturunkan dalam tempoh yang terdekat.

“Oleh itu, ia memberikan kesan kepada pulangan pelaburan bon AS yang menurun harganya dan tidak menjadi tarikan kepada pelabur,” tambahnya. – UTUSAN