Mercedes mahu ‘bedah’ jentera Russell

Sukan

LONDON: Pengarah Kejuruteraan Litar Mercedes, Andrew Shovlin mengesahkan bahawa pasukan merancang untuk menjalankan pemeriksaan dan imbasan secara menyeluruh terhadap jentera George Russell menjelang Grand Prix (GP) Monaco hujung minggu ini.

Ia dibuat susulan kenyataan Russell yang menggambarkan perlumbaannya di GP Emilia Romagna sebagai sesuatu yang amat teruk dari mula hingga tamat apabila dia berdepan dengan masalah misteri pada kereta W16 miliknya.

Russell mencatat keputusan terburuk pada musim ini di Imola hujung minggu lalu, merosot dari kedudukan ketiga di petak permulaan ke tempat ketujuh ketika tamat perlumbaan.

Pelumba dari British itu mengadu tentang rasa pelik pada bahagian belakang keretanya ketika dia semakin ketinggalan, namun Mercedes tidak dapat mengesan punca masalah tersebut melalui data semasa perlumbaan.

Russell juga menyifatkan perlumbaannya itu sesuatu yang mengecewakan melalui radio pasukan ketika tamat perlumbaan.

“Dia ada menyebut mengenai masalah semasa pusingan ke grid (sebelum perlumbaan bermula).

“Sekarang ini, bukan mudah untuk mendapatkan bacaan yang tepat tentang keseimbangan kereta pada pusingan ke grid itu tetapi, dalam masa yang sama, pemandu biasanya cukup baik dalam memberitahu kami apa yang mereka rasa.

“Semasa di grid, apa yang kami boleh lakukan hanyalah membuka panel badan kereta, memeriksa keadaan kereta dan memastikan tiada apa-apa yang ketara.

“Kami hanya ada beberapa minit sahaja di situ, dan tidak ada apa-apa yang kelihatan sebagai masalah pada masa itu.

“Tetapi, perlu diingat bahawa kereta itu berfungsi dengan baik pada akhir sesi kelayakan dan kami tidak mengubah apa-apa pada malam sebelumnya. Jadi, bila keluar untuk pusingan ke grid, sepatutnya tiada masalah.

“Sekarang kami telah membawa kereta dan semua komponennya ke Monaco. Kami ada program yang baik di sana untuk memeriksa semua bahagian, mengimbas mana-mana yang perlu, untuk melihat jika ada apa-apa masalah lain.

“Kami akan pastikan semuanya dipasang dengan betul seperti sepatutnya dan jika ada apa-apa isu, kami akan selesaikannya sebelum perlumbaan di Monaco,” kata Shovlin. – AGENSI