KUALA LUMPUR: Selepas mengejutkan juara Olimpik, Chen Qing Chen bersama pasangan baharunya Wang Ting Ge pada aksi pembukaan Malaysia Masters kelmarin, beregu wanita negara, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee kini bersedia untuk menguji satu lagi gergasi China, hari ini.
Beregu No. 24 dunia itu bakal berentap dengan pasangan pilihan ketujuh kejohanan yang juga juara Olimpik, Jia Yi Fan bersama pasangan baharunya Zhang Shu Xian, yang kini berada di ranking ke-15 dunia.
Mei Xing berkata, perlawanan kelmarin memberi satu pengajaran baharu buat beliau bersama Pei Kee mengatasi perselisihan faham dalam gelanggang sekali gus memberi membakar semangat mereka untuk aksi pusingan kedua hari ini.
“Perjalanan kami sangat jauh. Perlawanan hari ini (kelmarin) sangat bagus kerana kami mengatasi keserasian kami dalam gelanggang.
“Kami seakan-akan tidak serasi dengan kombinasi kami tetapi berjaya mengatasinya. Perlawanan ini (kelmarin) sangat bagus,” kata Mei Xing kepada pemberita selepas perlawanan di Axiata Arena, Bukit Jalil, kelmarin.
Dalam pada itu, Mei Xing percaya persiapan mental yang lebih baik jadi kunci utama untuk mereka menghadapi pasangan China berkenaan.
“Skil kami tidak sebagus mereka (Yi Fan-Shu Xian) tetapi mentaliti kami lebih baik. Kami mendapat motivasi dengan perlawanan kelmarin.
“Kami dah tahu kekuatan dan corak permainan mereka, jadi kami lebih bersedia dari segi taktikal dan fokus,” katanya.
Untuk rekod, Mei Xing-Pei Kee tewas pada dua pertemuan mereka sebelum ini pada pasangan China terbabit pada Terbuka Malaysia dan Indonesia Masters pada awal tahun ini. – UTUSAN