KUALA LUMPUR: Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) kini giat meneroka potensi baharu di luar sektor runcit dengan memberi tumpuan kepada segmen berimpak tinggi seperti pendidikan, infrastruktur digital, aset perindustrian serta konsesi tenaga boleh baharu.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainal Iskandar Ismail berkata, cadangan perluasan segmen itu telah dikemukakan kepada para pemegang saham.
“Sudah tentu peralihan daripada 100 peratus runcit kepada kepelbagaian baharu mengambil masa. Kami telah menyusun pelbagai cadangan dan kini berada dalam kedudukan untuk memilih yang terbaik.
“Pada masa sama, kami turut meneliti aset sedia ada bagi memaksimumkan pulangan menerusi penilaian modal dan penambahbaikan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Hektar REIT di sini, semalam.
Menurut beliau, Hektar REIT sedang mengalami transformasi ke arah entiti yang berbeza susulan kesan pandemik Covid-19 ke atas sektor runcit.
“Dengan ketegangan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, kita bakal menyaksikan penyusutan potensi pertumbuhan yang turut memberi kesan kepada sektor runcit.
“Justeru, kami kini memberi tumpuan kepada segmen pertumbuhan tinggi yang lain,” katanya.
Mengulas mengenai aset digital yang bakal diteroka, Zainal berkata, pengumuman rasmi akan dibuat pada masa yang sesuai, namun sebarang perubahan hala tuju perlu disokong kekuatan strategi kepelbagaian.
“Kami telah bergiat dalam perniagaan runcit sejak penubuhan pada 2006. Maka, setiap langkah baharu mesti melengkapi dan mengukuhkan model perniagaan teras kami.
“Pempelbagaian perlu dilakukan berasaskan model yang benar-benar selari dan berupaya memperkukuh asas sedia ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hektar REIT menyasarkan pemerolehan aset yang dapat memanjangkan tempoh pajakan purata berwajaran (WALE) melebihi 10 tahun.
“Aset digital antara segmen yang diyakini mempunyai potensi tinggi kerana menawarkan skala lebih besar berbanding pusat beli-belah. Model hasilnya pula berasaskan data dan trafik, sekali gus berbeza daripada aset runcit konvensional.
“Bagi saya, bagi menjadikan Hektar sebagai REIT yang lebih kalis risiko, dengan aliran tunai stabil dan pulangan lebih baik, kami perlu mempertimbangkan kelas aset alternatif seperti ini,” katanya. – UTUSAN