KOTA KINABALU: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan ekonomi negeri termasuk usaha membasmi kemiskinan ketika beliau menjadi Ketua Menteri.
Oleh itu adalah tidak adil untuk beliau mengkritik usaha memajukan ekonomi dan membasmi kemiskinan tegar oleh Ketua Menteri sekarang, Datuk Seri Hajiji Noor.
Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, kritikan Mohd. Shafie Apdal perlu dinilai secara adil dan mesti disandarkan juga kepada realiti pentadbiran dan batas masa pelaksanaan dasar.
“Yang penting, rakyat harus menilai secara objektif antara retorik dan pelaksanaan.
“Jika dilihat sewaktu Mohd. Shafie menjadi Ketua Menteri antara Mei 2018 ke Julai 2020 beliau tidak membuat anjakan signifikan dalam kedudukan kewangan dan ekonomi Sabah,” katanya.
Beliau mengulas kritikan keras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu terhadap Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan mendakwa ia gagal menangani isu asas rakyat terutama kemiskinan, pengangguran dan kos sara hidup.
Dr. Kamarul Zaman berkata, di sebalik kritikan yang dilemparkan GRS pimpinan Hajiji telah membawa kestabilan dan dasar yang konsisten yang mana ia sukar dicapai dalam mana-mana pentadbiran negeri Sabah sebelum ini.
Oleh itu kata, ia perlu dinilai secara objektif dan bukannya berasaskan retorik seperti yang dilemparkan oleh Mohd Shafie.
“GRS di bawah Hajiji bukan kerajaan yang sempurna, tetapi ia telah membawa satu bentuk kestabilan dan dasar yang konsisten sesuatu yang sebelum ini sukar dicapai dalam politik Sabah.
“Yang penting, rakyat harus menilai secara objektif antara retorik dan pelaksanaan. Jika dilihat sewaktu Mohd. Shafie menjadi Ketua Menteri antara Mei 2018 ke Julai 2020 beliau tidak membuat anjakan signifikan dalam kedudukan kewangan dan ekonomi Sabah,” katanya.
Dr. Kamarul Zaman menambah, kerajaan Sabah yang dipimpin Hajiji juga berada di landasan yang tepat dalam menghapuskan kemiskinan rakyat di negeri itu yang disokong data dan pelaburan infrastruktur serta Belanjawan 2025 yang terbesar dalam sejarah.
Katanya, Belanjawan Sabah 2025 yang dikritik oleh Mohd Shafie itu adalah belanjawan terbesar dalam sejarah negeri mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkukuh asas ekonomi serta menghapuskan kemiskinan.
Katanya, langkah itu dijangka dapat meningkatkan peluang pekerjaan, memupuk inovasi tempatan serta memperkasa daya saing tenaga kerja di negeri itu.
Tambah beliau, selain bantuan tunai dan program kebajikan, Sabah kini beralih kepada pendekatan pembangunan berasaskan komuniti yang lebih bersifat lestari.
“Kerajaan negeri telah melancarkan program seperti Agropolitan, mini-estet sawit, agropreneur muda dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan tujuan menjana pendapatan berterusan dan tidak hanya bergantung kepada bantuan.
“Ini selain program lazim seperti menyediakan rumah untuk golongan miskin di luar bandar menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kemiskinan tegar tidak dapat dihapuskan dalam tempoh singkat, lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman Sabah yang berdepan cabaran geografi. Namun, pendekatan bersasar yang disokong data dan pelaburan infrastruktur, merupakan langkah yang berada di landasan betul,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Kamarul Zaman, kejayaan kerajaan di bawah Datuk Seri Hajiji Noor sukar dicapai dalam politik Sabah kerana telah membawa satu bentuk kestabilan dan dasar yang konsisten.
Sebelum ini, Mohd. Shafie melontarkan kritikan keras terhadap Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan oleh GRS dengan mendakwa ia gagal menangani isu asas rakyat terutama kemiskinan, pengangguran dan kos sara hidup.
Tambah beliau, Belanjawan Sabah 2025 berjumlah RM6.4 bilion yang tertinggi dalam sejarah negeri itu lebih bersifat kosmetik dan tidak menyentuh keperluan sebenar rakyat.
Menurut Mohd. Shafie, kadar pengangguran Sabah kekal tertinggi di negara ini pada kadar 7.9 peratus melibatkan lebih 170,000 individu manakala hampir separuh daripada penduduk yang bekerja hanya memperoleh gaji di bawah RM2,000 sebulan.
Beliau turut membangkitkan isu kemiskinan tegar dan krisis pemakanan apabila satu daripada empat kanak-kanak bawah lima tahun di Sabah mengalami masalah bantut.
Situasi ini katanya, mencerminkan kegagalan sistemik dalam aspek kesihatan awam dan pendidikan apabila dua sektor penting kini berada dalam keadaan tenat dan memerlukan pembaharuan menyeluruh.
Selain itu, Sabah di bawah pentadbiran GRS terbukti lebih agresif dan sistematik dalam membanteras kemiskinan tegar sekali gus menafikan dakwaan pembangkang.
Sejak di awal pentadbirannya, GRS di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah melakukan pelbagai langkah intervensi yang tidak pernah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin sebelum ini dalam menurunkan angka kemiskinan tegas di Sabah.
Ini termasuk intervensi bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dalam menurunkan angka kemiskinan tegar di Sabah yang mana ia terbukti apabila 18,494 ketua isi rumah dalam senarai e-Kasih telah diberikan bantuan pada tahun lalu.
Bagi memastikan golongan miskin ini mampu berdikari dan tidak berterusan bergantung kepada bantuan, mereka turut didedahkan dengan bidang keusahawanan, di mana 3,439 ahli isi rumah miskin tegar menjadi Sahabat Usahawan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia.
Melalui inisiatif ini suntikan dana diberikan untuk membantu mereka memulakan perniagaan dan menambah pendapatan isi rumah.
Satu lagi kaedah kerajaan GRS membanteras kemiskinan tegar ialah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan menggalakkan lebih banyak kemasukan pelaburan dari luar.
Yang sudah menjadi kenyataan ialah kehadiran syarikat-syarikat beroperasi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang mengutamakan pengambilan tenaga kerja tempatan sudah direalisasikan.
Keseluruhannya, enam syarikat beroperasi di SOGIP dengan anggaran pelaburan berjumlah RM72 bilion dan apabila ia beroperasi sepenuhnyua di kawasan seluas 4,065 hektar mampu menyediakan sehingga 3,500 peluang pekerjaan.
Penganalisis politik dan perundangan, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata, Belanjawan Sabah 2025 sangat baharu di luluskan dan semua projek pembangunan yang dirancang memerlukan tempoh masa untuk direalisasikan hasilnya.
Kata beliau, pembangkang yang diketuai Mohd. Shafie sepatutnya memberi sokongan dan bukan sahaja terus membangkang walaupun terdapat perkara baik yang telah dibentangkan dalam Belanjawan Sabah 2025.
“Membasmi kemiskinan sememangnya menjadi tunjang utama setiap kerajaan yang mendambakan kehidupan rakyatnya yang sejahtera dan penuh kebajikan.
“Pelbagai inisiatif seperti peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Luar Bandar, serta kemudahan pinjaman modal untuk usahawan muda dalam sektor kecil dan sederhana diwujudkan sebagai galakan agar rakyat dapat bangkit semula dan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Namun, semua usaha ini memerlukan masa dan mestilah bebas daripada salah guna kuasa serta rasuah, agar bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Tambahnya, Hajiji memiliki potensi besar untuk menjadi teraju utama kepimpinan Sabah maka sewajarnya semua komponen politik turut memberikan sokongan demi memastikan segala dasar yang digariskan dalam Belanjawan 2025 dapat direalisasikan dengan berkesan.-UTUSAN