Ee Wei-Bing Kun kalah berjuang

Sukan

KUALA LUMPUR: Perjuangan beregu campuran negara berakhir pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters selepas dua lagi wakil, Loo Bing Kun-Toh Ee Wei dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien tersingkir di pusingan kedua, hari ini.

Pasangan pecah ganding, Ee Wei-Bing Kun terpaksa akur kepada beregu Taiwan yang menghuni ranking No. 23 dunia, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan 21-19, 20-22, 18-21 dalam masa 1 jam 8 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Bing Kun berkata, dia dan Ee Wei bermain baik pada awal permainan yang membawa kemenangan dalam set pertama.

“Kita pada awalnya bermain menyerang, tetapi selepas itu lawan mula mengubah taktikal permainan mereka dan kita pula banyak bertahan dan tak sabar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir.

Tien Ci-Chiew Sien yang merupakan beregu profesional Malaysia juga tewas dalam perlawanan peringkat 16 terbaik yang berlangsung lebih awal.

Gandingan ke-35 dunia itu tewas kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand 14-21, 9-21 dalam masa 37 minit.

Kegagalan kedua-dua beregu itu menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah tidak mempunyai wakil dalam sektor tersebut, selepas juara bertahan yang juga gandingan No. 3 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai tersingkir pada peringkat 32 terbaik, semalam.

Sementara itu, dalam saingan beregu wanita pula, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing tunduk kepada pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 6-21, 13-21 dalam masa 36 minit. – UTUSAN