PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan Pamela Ling Yueh bukan suspek sebaliknya hanya dipanggil sebagai saksi bagi membatu siasatan.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan Ling Yueh pada Januari lalu dibuat hanya kerana dia gagal mematuhi arahan untuk hadir memberikan keterangan.
“Saya tidak pernah kata dia suspek. Saya hanya sebut dia adalah subjek dalam kes di mana dia tidak hadir seperti diarahkan.
“Jadi dalam kes ini, dia adalah saksi untuk membantu siasatan. Kami tidak pernah panggil dia untuk ditahan.
“Saya ingin menegaskan bahawa kes ini saya maintain (kekal) dengan kenyataan bahawa (kejadian) berlaku luar premis SPRM. SPRM telah beri kerjasama baik, apa-apa dikehendaki polis telah kita berikan.
“Beliau ditangkap kerana gagal untuk hadir. Bukan atas siasatan kami, gagal hadir ni satu kesalahan kerana ingkar perintah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatan yang melibatkan Pamela Ling.
Pada 2 Mei lalu, keluarga Ling mendedahkan wanita berusia 42 tahun itu yang juga bergelar Datin Seri sepatutnya bertemu pegawai SPRM pada 9 April bagi membantu siasatan berkaitan pengubahan wang haram, namun didakwa telah diculik sebelum sempat sampai ke lokasi.
Pemandu Grab yang membawa Ling ketika itu mendakwa kenderaan mereka dihentikan oleh beberapa individu berpakaian seragam polis, yang kemudian memaksa Ling keluar dari kereta dan mengarahkannya menandakan perjalanan sebagai “selesai”.
SPRM kemudiannya menafikan sebarang unsur gangguan atau salah laku dalam pengendalian kes melibatkan Ling, sambil menegaskan setiap tindakan yang diambil mengikut lunas undang-undang. – UTUSAN