KWSP salur RM213.21 bilion kepada pengurus dana luar tahun lalu

Perniagaan

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyalurkan sebanyak RM213.21 bilion kepada pengurus dana luar sehingga 31 Disember 2024, mewakili 17 peratus daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan perbadanan itu.

Daripada jumlah tersebut, pengurus dana luar berjaya mencatatkan sumbangan pendapatan tertinggi iaitu 24 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, pencapaian itu mencerminkan kecekapan, matlamat dan kerjasama kukuh antara KWSP dan barisan pengurus dana luar dalam membina ekosistem pelaburan yang mantap.

Katanya, KWSP dan pengurus dana luar telah menunjukkan kecekapan serta daya tahan dalam mengurus portfolio pelaburan yang pelbagai demi memberi nilai jangka panjang kepada ahli, meskipun berdepan cabaran luaran dan ketidaktentuan pasaran sepanjang tahun lalu.

“KWSP juga komited terhadap inovasi dengan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) dan automasi bagi meningkatkan kecekapan operasi serta membangunkan infrastruktur pelaburan yang lebih tangkas dan bersedia untuk masa hadapan.

“Dalam masa sama, penyepaduan pertimbangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam portfolio pelaburan kekal menjadi keutamaan strategik bagi memperkukuh daya tahan jangka panjang.

“Kami turut bekerjasama secara aktif dengan pengurus dana luar bagi memastikan mereka selari dengan aspirasi KWSP untuk pertumbuhan yang mampan dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tahun kewangan berakhir 2024, KWSP mengisytiharkan kadar dividen 6.30 peratus bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan keseluruhan RM73.24 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM63.05 bilion diagihkan kepada Simpanan Konvensional, manakala RM10.19 bilion untuk Simpanan Shariah.

Sementara itu, sepanjang 2024, KWSP juga merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, sementara jumlah aset pelaburannya meningkat kepada RM1.25 trilion, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu dana persaraan terbesar di dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, KWSP turut mengumumkan seramai 12 pemenang menerusi Majlis Makan Malam Tahunan Anugerah Pengurus Dana Luar KWSP, sebagai pengiktirafan kepada prestasi cemerlang pengurus dana luar berdasarkan mandat masing-masing sepanjang 2024. – UTUSAN