Untung sebelum cukai Cropmate naik 60.9 peratus pada suku pertama

Perniagaan

PETALING JAYA: Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) Cropmate Berhad (Cropmate) melonjak 60.9 peratus kepada RM5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 berbanding RM3.1 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengeluar baja konvensional itu turut merekodkan hasil sebanyak RM48.6 juta, meningkat 34.6 peratus daripada RM36.1 juta yang dicapai pada suku keempat tahun kewangan 2024.

Margin keuntungan kasar menunjukkan peningkatan kukuh kepada 19.1 peratus berbanding 15.6 peratus pada suku sebelumnya, mencerminkan pertumbuhan margin sebanyak 22.4 peratus, sekali gus menandakan kecekapan operasi dan permintaan yang mampan terhadap produk syarikat.

Sebahagian besar hasil kumpulan, iaitu sebanyak 98.7 peratus disumbangkan oleh jualan domestik, manakala selebihnya disumbangkan oleh pasaran eksport meliputi Singapura, Indonesia, Vietnam dan Sri Lanka.

Pengarah Urusan Cropmate, Lee Chin Yok berkata, prestasi itu mencerminkan daya tahan perniagaan dan permintaan yang semakin meningkat untuk baja berkualiti tinggi.

“Bergerak ke hadapan, kami terus komited untuk meningkatkan operasi, meningkatkan inovasi produk dan menyampaikan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 31 Mac 2025, kumpulan mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan tunai dan baki bank sebanyak RM7.2 juta dan pelaburan jangka pendek sebanyak RM40.3 juta. Aset bersih sesaham berjumlah RM0.12.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak RM22.3 juta daripada RM42.0 juta yang diperoleh daripada Tawaran Awam Permulaan (IPO) telah digunakan setakat ini, terutamanya untuk modal kerja, perbelanjaan modal dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

“Cropmate semakin maju dengan perancangan pembelian Lot Kilang 8949 dan 8950, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif pengembangan strategiknya.

“Melangkah ke hadapan, Cropmate kekal optimistik namun berwaspada. Walaupun teruja dengan momentum semasa, kami tetap mengambil kira landskap makroekonomi serta cabaran luaran yang memberi kesan kepada sektor pertanian.

“Namun begitu, asas kami kekal kukuh, dan bersedia untuk mengharungi cabaran dengan daya tahan dan ketangkasan,” ujarnya. – UTUSAN