Dua warga asing maut, kereta terperosok bawah lori

Politik

MELAKA: Dua warga asing maut selepas kereta dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang membuat pusingan-U di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Tiang Dua berhampiran kilang Huat Lai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Abdulla Shaied, 47, warga Bangladesh yang memandu kereta berkenaan dan penumpangnya, Nguyen Thanh Loan, 46, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kaki, badan serta muka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori Nissan dan kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 48 tahun dari Jasin membuat pusingan-U untuk masuk ke kilang Huat Lai sebelum dilanggar kereta dari arah Melaka yang gagal mengelak.

“Impak rempuhan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah pada bahagian muka, badan serta kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Tambah Christopher, kesan brek sejauh 45 meter turut ditemui di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian awal air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah manakala sampel darah turut diambil untuk ujian alkohol.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kilang berhampiran akan diperoleh bagi membantu siasatan lanjut dan kenderaan yang terlibat turut ditahan untuk pemeriksaan,” katanya.-UTUSAN