PETALING JAYA: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Fintech Association of Malaysia (FAOM), badan industri teknologi kewangan (fintech) terkemuka negara, bagi memajukan inovasi dan merangsang pertumbuhan dalam landskap fintech Malaysia.
MoU ini menandakan langkah signifikan ke arah penubuhan PayNet Fintech Hub, sebuah platform khusus untuk memperkasa syarikat pemula fintech serta memupuk peluang kerjasama yang menyokong pembangunan teknologi dan penyelesaian kewangan inovatif.
Menerusi kerjasama strategik ini, PayNet dan FAOM akan memanfaatkan rangkaian, kepakaran serta pandangan industri masing-masing untuk menggalakkan libat urus kawal selia, kerjasama serantau dan akses pasaran bagi pemain fintech tempatan.
Ketua Pegawai Pemasaran PayNet, Gary Yeoh berkata, kerjasama dengan FAOM ini bertujuan untuk memudahkan syarikat fintech menukar idea mereka menjadi penyelesaian sebenar
“PayNet Fintech Hub menyediakan ruang untuk syarikat pemula membina, menguji dan berhubung dengan ekosistem yang menggerakkan perkhidmatan kewangan Malaysia.
“Ini merupakan langkah ke arah ekosistem yang lebih terbuka dan inovatif, di mana pemain baharu boleh berkembang dan memberi impak yang bermakna.
“Kerjasama ini memudahkan lagi syarikat fintech untuk beralih dari fasa idea ke fasa pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan.
Melalui PayNet Fintech Hub, syarikat pemula mendapat akses terus kepada sistem, pemain industri serta infrastruktur yang memacu perkhidmatan kewangan Malaysia.
Hab ini bertujuan membina ekosistem yang lebih terbuka dan kolaboratif, di mana inovasi baharu boleh berkembang dan berskala.
Presiden, FAOM, Anil Singh Gill berkata, pihaknya akan berperanan sebagai penghubung penting antara ahli-ahlinya dan komuniti PayNet Fintech Hub, dengan menawarkan laluan yang bernilai untuk jaringan, bimbingan dan penyertaan dalam inisiatif bersama melibatkan pihak pengawal selia seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Kami amat berbesar hati menandatangani MoU ini bersama PayNet. Ini merupakan langkah pertama dalam satu kerjasama yang akan terus berkembang, di mana kami boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk membantu komuniti fintech.
“Kami telah bekerjasama rapat dengan PayNet dan yakin kerjasama ini akan membawa nilai tambah kepada ahli-ahli kami. Kami juga menantikan lebih banyak pengumuman pada masa akan datang selaras dengan usaha-usaha kami untuk merealisasikan MoU ini,” katanya.
Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab fintech serantau dengan memanfaatkan infrastruktur canggih, kerjasama strategik dan rangka peraturan yang progresif.
Dengan memupuk semangat inovasi dan kerjasama, PayNet Fintech Hub bertujuan memperkukuh daya saing firma-firma fintech tempatan dan menarik penyertaan pemain global ke dalam ekosistem ini.
Di bawah MoU ini, kedua-dua pihak juga akan meneroka aktiviti bersama seperti sesi perkongsian ilmu, penglibatan dalam sandbox kawal selia, forum perancangan strategik serta acara berjenama bersama yang bertujuan memperkukuh ekosistem fintech Malaysia.
MoU ini melambangkan komitmen bersama untuk mempercepat evolusi Malaysia sebagai peneraju fintech di ASEAN dengan penekanan kepada keterangkuman, kemakmuran bersama dan tadbir urus yang bertanggungjawab.
Kerjasama PayNet-FAOM ini merupakan satu langkah berani dalam memacu kemajuan fintech negara, dengan komitmen bersama terhadap prinsip keterangkuman, kelestarian dan tadbir urus yang kukuh. – UTUSAN