Palmero tidak ‘kekok’, ada kualiti ditagih Harimau Malaya

Sukan

KUALA LUMPUR: Gabriel Palmero tidak mengambil masa lama untuk membuktikan kualiti dimilikinya apabila telah memberi impak dan aksi meyakinkan pada penampilan sulung bersama Harimau Malaya ketika menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, kelmarin.

Pemain warisan negara itu, langsung tidak gugup walaupun berdepan pasukan di ranking ke-72 dunia dan hampir mencipta gol pertama peribadinya buat skuad kebangsaan menerusi rembatan kencangnya pada minit ketujuh, tetapi bola tersebut sekadar singgah di tiang.

Aksi meyakinkan dan ketenangan mengawal bola menunjukkan kualiti sebenar pemain kelahiran Tenerife, Sepanyol itu yang baru pertama kali menyarung jersi kebangsaan selepas sah memperoleh kelayakan mewakili Malaysia.

Dia yang diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama dilihat cepat menyesuaikan diri di atas padang dan membentuk keserasian yang baik bersama barisan pertahanan negara sebelum dikeluarkan pada minit ke-78.

Palmero menyedari dirinya mendapat pujian melambung namun dia lebih merendah diri serta mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki dalam usahanya menjadi tonggak utama Harimau Malaya pada masa depan.

“Ini baru perlawanan pertama saya. Saya akan terus bekerja keras untuk menjadi pemain yang lebih baik,” katanya.

Palmero turut menyatakan cintanya terhadap Malaysia dan berharap dapat terus memberikan sumbangan terbaik buat skuad kebangsaan.

“Malaysia sentiasa dalam hati saya,” katanya ringkas.

Ketika ditanya mengenai komunikasi dan penerimaan rakan sepasukan terhadapnya, Palermo mengakui berasa bersyukur kerana diterima dengan begitu baik.

“Saya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan saya faham apa yang mereka katakan. Bahasa bola sepak itu sendiri cukup universal untuk kami saling memahami,” katanya.-UTUSAN